Hubungan rapat dengan Arab Saudi hanya undang masalah
Iklan
HUBUNGAN istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi hanya akan mengundang pelbagai masalah kepada negara seperti kemungkinan serangan kumpulan IS, kata ahli parlimen pembangkang berikutan keputusan Putrajaya memberikan tanah kepada Arab Saudi.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berkata Malaysia sepatutnya menjauhkan sebarang hubungan diplomatik dengan Timur Tengah mengambil sikap neutral dalam konflik di Timur Tengah.
“Mengapa kita mahu berikan keistimewaan (kepada Arab Saudi) untuk membuka pusat untuk memerangi keganasan di rantau ini. Kita sudah ada beberapa agensi untuk mengatasi masalah ini.
“Mengapa perlu kita menjemput Arab Saudi yang memiliki banyak musuh? Kita tahu Arab Saudi merupakan pembiaya keganasan di Timur Tengah jadi mengapa kita mahu membawa masalah Timur Tengah ke negara kita dengan membuka Pusat Raja Salman di sini?” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau yang merupakan pengerusi biro antarabangsa Amanah merujuk kepada Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), yang ketika ini beroperasi di Kuala Lumpur. Putera mahkota kontroversi Putera Mohammad Salman dijangka akan melancarkan pusat itu tahun depan.
“Kita tidak mahu penglibatan dengan Arab Saudi menjadikan kita sebagai sasaran pejuang IS kerana mereka diketahui sedang mencari medan perang baru,” katanya.
Perdana Menteri Najib Razak pada Julai berkata pembinaan KSCIP di putrajaya mencerminkan kepentingan institusi itu.
“Raja Salman boleh memilih negara lain untuk membina pusat itu, tetapi penjaga dua masjid suci itu memilih Malaysia,” beliau dipetik sebagai berkata.
Beberapa pihak termasuk pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zin mengkritik idea untuk meminta bantuan kerajaan Arab Saudi bagi membantu memerangi keganasan di Asia Tenggara, dan menyifarkan ia sebagai “tidak realistik”.
Cendekiawan Islam terkenal Dr Ahmad Farouk Musa turut mengkritik keputusan Putrajaya untuk memberikan tanah seluas 16 hektar kepada KSCI, dan menyifatkan ia sebagai “tidak masuk akal”.
Hubungan Malaysia dan Arab Saudi bertambah baik pada pentadbiran Najib.
Pada April 2016, Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir berkata di Istanbul, negara itu telah mendepositkan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib. Adel berkata ia adalah derma dari Arab Saudi. – 15 November, 2017.