Iklan

Saya isytihar harta jika jadi calon pilihan raya, kata Dr Mahathir

Melati A. Jalil7 years ago15th Nov 2017Berita
Dr Mahathir 151117 tmiseth 01
Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan mengisytiharkan harta sekiranya bertanding dalam PRU14. Beliau memberikan kenyataan itu selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2017.
Iklan

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad bersedia mengisytiharkan asetnya sekiranya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Ya saya boleh isytiharkan aset saya tetapi saya tak tahu sama ada saya akan jadi calon atau tidak,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Parlimen hari ini.

Beliau memberikan jawapan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini yang 30 bakal calon PH termasuklah yang sedang menyandang jawatan dijangka mengisytiharkan aset mereka Ahad ini.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata yang Majlis Presiden PH masih belum membincangkan sama ada semua calon mereka perlu mengisytiharkan aset sebelum pilihan raya.

“Kami ada strategi sendiri dan kami akan ikut (strategi itu). Dalam Pakatan Harapan, keputusan akhir dibuat Majlis Presiden.

“Jadi sehingga perkara itu diputuskan saya tak boleh buat sebarang kenyataan,” katanya.

Awal hari ini, Rafizi yang merupakan pengasas Invoke Malaysia mengatakan 30 bakal calon PH akan mengisytiharkan harta mereka di Summit USJ pada Ahad.

Majlis itu adalah acara kutip dana untuk Invoke.

Invoke sudah membantu 30 bakal calon tersebut merangka strategi pilihan raya dan melakukan kajian di kawasan mereka.

“Bakal calon akan menandatangani ikrar untuk bekerja demi rakyat, termasuklah membayar kepada tabung amanah RM20 juta untuk rakyat jika mereka berpaling tadah (selepas dipilih),” kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Invoke mensasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM5 juta lagi daripada orang awam bagi membantu 53 calon pilihan raya umum akan datang. – 15 November, 2017.

Iklan
Iklan