Iklan

Isu Sabah bukan soal agama, kata Warisan

Radzi RazakJason Santos7 years ago15th Nov 2017Berita
Sabah kota kinabalu gaya island water 10
Isu di Sabah adalah Perjanjian Malaysia 1963 yang tidak dipenuhi menyebabkan negeri itu tidak maju makmur, bukannya kedudukan Islam sebagai agama rasmi, kata Timbalan Preside Warisan Darell Leiking. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2017.
Iklan

PEMIMPIN pembangkang Sabah hari ini melancarkan serangan terbaru kepada Pandikar Amin Mulia yang berani mencabar mereka supaya melucutkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negeri itu pada ucapannya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hujung minggu lepas.

Isu yang dihadapi oleh rakyat Sabah sekarang ialah hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukannya kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking.

Beliau berkata kenyataan Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia yang mencabar pembangkang negeri Sabah untuk meminda Artikel 5A Perlembagaan Sabah apabila menang pilihan raya sebagai emosional dan tidak menjawab persoalan.

Artikel 5A dipinda pada 1976 apabila parti USNO yang memerintah ketika itu meletakkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Sabah tidak mempunyai agama rasmi ketika menyertai Malaysia pada 1963.

“Jawapan terus kepada Pandikar ialah Artikel 5A Perlembagaan Negeri Sabah bukanlah isu sama sekali; Kita sedang memperkatakan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (yang telah dilanggar selama ini) serta ketirisan hak Sabah yang telah dipersetujui semua pihak yang memeterai MA63,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pandikar hari ini mempersoalkan keikhlasan perjuangan Warisan termasuk Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) Jeffrey Kitingan dalam memperjuangkan rakyat Sabah dan mencabar mereka untuk meminda artikel tersebut.

Cabaran itu, katanya kerana pihak terbabit telah salah tafsir sejarah kemerdekaan pewujudan Malaysia dan perundangan yang berkaitan dengannya untuk menyesuaikan selera dan agenda politik masing-masing.

Derell bagaimanapun sekali lagi menegaskan Warisan tidak akan meminda sebarang Perlembagaan kecuali diminta majoriti penduduk Sabah.

Mengimbas kembali Pindaan lebih 40 tahun lalu itu, ahli Parlimen Penampang itu berkata hanya enam Adun negeri termasuk menteri yang mencadangkan pindaan itu berdebat tentang perkara itu pada Sidang DUN 1973.

“Saya juga difahamkan mendiang Anthony Gibbon ialah satu-satunya Adun bukan Muslim daripada enam yang mendebatkan pindaan itu dan tiada sebarang bangkangan terhadap pindaan yang diterima sebulat suara pada 1973.

“Saya sekali lagi mengulang, tiada sebarang pindaan Perlembagaan (Negeri) kecuali sekiranya diminta oleh majoriti penduduk Sabah,“katanya.

Derell berkata kenyataan Pandikar yang dilaporkan mempersoalkan mengapa kerajaan PBS yang menguasai negeri pada 1985 tidak meminda perlembagaan walaupun diterajui ketua menteri bukan Muslim adalah refleksi kepada sikap Umno yang mempergunakan agama dan kaum untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Menurut beliau, ini berbeza dengan Warisan yang mahukan hak dalam perjanjian tersebut dipenuhi bagi menyemarakkan kembali ekonomi negeri.

“Kita sepatutnya bercakap bagaimana menyemarakkan semula ekonomi Sabah dan membantu rakyat. Kita perlu selesaikan sekaligus masalah pendatang tanpa izin di negeri ini kerana ianya adalah ‘ibu kepada semua masalah’

“Sekarang saya mahu Pandikar untuk bertanya rakan-rakan beliau sendiri di Barisan Nasional mengenai pendapat mereka dalam hal ini. Adakah mereka mahu meminda Artikel 5A Perlembagaan Sabah kerana ‘agama’ nampaknya adalah permainan Barisan Nasional sekarang dan di sini jelas menunjukkan ia turut dimainkan oleh Pandikar sendiri,” kata beliau.

Pandikar sebelum ini menolak pertanyaan di Parlimen mengenai MA63 dan berkata tidak ada keperluan bagi ahli Parlimen memfailkan usul untuk mengkaji semula perjanjian tersebut kerana semua hak istimewa negeri sudah dilaksanakan.

Presiden Sabah Star Jeffrey Kitingan berkata pindaan Artikel 5A dilakukan Usno tidak sah kerana ia tidak selari dengan MA63 dan dokumen perlembagaan mengenai pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Walaupun Islam akan kekal sebagai agama rasmi Malaysia, Sabah pula akan menikmati kebebasan agama seperti diimpikan pengasas negeri.

“Dan mereka betul kerana mahukan kebebasan beragama sebagai syarat Sabah bersetuju membentuk Malaysia,” katanya.

Jeffrey yang juga merupakan Adun Bingkor berkata cabaran Pandikar itu disebabkan Umno yang mahu memainkan isu kaum dan agama.

Katanya, Pandikar kini menggunakan apa yang dipelajarinya dalam Umno untuk memecahkan rakyat Sabah.

“Cabaran oleh Pandikar kepada pembangkang tidak lebih daripada taktik alih tumpuan biasa dilakukan Umno untuk mengelak berdepan isu sebenar.”

Menurut Jeffrey, rakyat Sabah dan Sarawak sangat jelas dengan apa yang mereka mahukan dalam pengembalian semula hak, keistimewaan dan autonomi negeri Borneo itu.

“Sangat tidak bertanggungjawab untuk seorang pemimpin kanan Sabah dan speaker Dewan Rakyat memainkan retorik kaum dan agama demi kepentingan dan kelangsungan politik,” katanya. – 15 November, 2017. – 15 November, 2017.

Iklan
Iklan