Iklan

Laporan tentang cucu saya cubaan alih perhatian isu sebenar

Melati A. Jalil7 years ago15th Nov 2017Berita
Dr Mahathir 151117 tmiseth 02
Dr Mahathir Mohamad mengatakan laporan dua akhbar utama negara hujung minggu lepas tentang cucu perempuannya adalah cubaan mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar kleptokrasi yang berlaku dalam kepimpinan tertinggi negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2017.
Iklan

DR Mahathir Mohamad hari ini menafikan rencana mengenai kehidupan mewah cucu perempuannya yang dilaporkan muka depan dua akhbar pro-Umno, mengatakan ia adalah satu lagi cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.

“Dalam politik, ‘menghina’ orang sentiasa akan jadi strategi mereka,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Keseluruhan idea adalah untuk mengalihkan tumpuan daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan RM2.6 bilion (derma yang didakwa diberikan kepada Perdana Menteri Najib Razak oleh keluarga diraja Arab Saudi).

“Anda boleh cari dan jumpa semua benda kotor dan bongkar. Saya juga boleh jumpa banyak benda kotor tapi saya perlu gali dalam-dalam.”

Pada hujung minggu lepas, edisi Ahad akhbar Utusan, Mingguan Malaysia dan Berita Harian menerbitkan laporan tentang “gaya hidup selebriti Meera Alyana Mukhriz” dan melampirkan gambar cucu Dr Mahathir itu memakai pakaian berjenama dan berjalan di seluruh dunia menggunakan kapal layar mewah.

Laporan itu berdasarkan sumber catatan di Facebook yang dikeluarkan pengguna bergelar “Sudahlah Mahathir”.

Akhbar pro-Umno itu mengatakan Meera, yang lebih dikenali sebagai Ally berjalan ke seluruh dunia menggunakan kapal layar yang dinamakan sempena namanya. Utusan mendakwa kapal itu dihadiahkan oleh ayahnya.

Sebagai reaksi kepada laporan itu, ayah Meera, Mukhriz Mahathir berkata etika kewartawanan negara ini sudah jatuh menjunam ke tahap terendah kerana sanggup menerbitkan kisah peribadi individu sebagai berita penting.

Mukriz yang merupakan bekas menteri besar Kedah berkata laporan itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana tiada hubung kait antara gambar anaknya itu dengan dana haram atau skandal 1MDB.

Marina Mahathir juga mengkritik laporan itu, mengatakan ia cubaan terdesak parti pemerintah untuk mengalihkan perhatian daripada skandal 1MDB.

Dr Mahathir kini adalah pengkritik paling lantang pentadbiran Najib menuduh perdana menteri itu mencuri berbilion ringgit kekayaan negara. – 15 November, 2017.

Iklan
Iklan