RoS masih tak beri perkembangan pendaftaran Pakatan, kata Dr Mahathir
Iklan
MASIH tiada perkembangan terbaru tentang permohonan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti politik rasmi, kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu mengatakan yang pakatan pembangkang itu sudah merancang untuk berjumpa menteri dalam negeri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di Parlimen hari ini tetapi menteri berkenaan tidak hadir.
RoS adalah jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mengawal selia urusan organisasi bukan kerajaan, persatuan dan parti politik.
“Setakat ini, kami tak terima apa-apa maklum balas daripada RoS. Tiada penolakan atau kelulusan, tiada apa-apa,” katanya kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Semalam, The Malaysian Insight melaporkan yang kepimpinan PH bimbang jika RoS melengahkan pendaftaran pakatan pembangkang walaupun mereka sudah memenuhi semua syarat.
PH melakukan permohonan pendaftaran kepada RoS pada 24 Julai lalu.
“Kami mahu tahu sama ada permohonan kami diluluskan atau tidak. Jika tiada bantahan, kami sedia untuk mengikuti semua syarat ditetapkan RoS,” kata Dr Mahathir menambah yang maklum balas RoS boleh membantu pakatan pembangkang mengetahui sama ada permohonan mereka memenuhi kriteria ditetapkan RoS.
Kepimpinan PH sudah berulang kali mempersoalkan tindakan RoS yang dianggap sengaja melengahkan pendaftaran pakatan pembangkang itu yang terdiri daripada Bersatu, PKR, Amanah dan DAP yang kini sudah menunggu hampir 100 hari.
Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober, Kementerian Dalam Negeri mengatakan RoS bertanggungjawab menyaring semua permohonan parti politik bagi menjaga keselamatan negara dan kepentingan awam.
Kementerian juga mengatakan tiada syarat dan kriteria tambahan diperlukan tetapi permohonan itu masih dalam pertimbangan.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengatakan Bersatu masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) disebabkan struktur parti yang masih belum lengkap terutama sekali di peringkat cawangan.
“Ketika ini, parti masih belum terurus sepenuhnya kerana untuk adakan AGM, kita perlu ada mesyuarat peringkat cawangan, kemudian bahagian dan selepas itu barulah boleh ada AGM.
“Di peringkat cawangan, walaupun ada ahli tetapi mereka masih tak tersusun dalam cawangan, malah sesetengah bahagian pun masih belum tersusun. Jadi kami tak boleh tentukan siapa yang akan hadir mesyuarat,” katanya, beliau turut menafikan yang parti itu tidak mempunyai cukup ahli untuk mengadakan AGM.
“Dalam apa juga keadaan, peruntukan dalam Perlembagaan parti mengatakan yang parti boleh menunda AGM ke tarikh lain. Sudah pasti kami perlu patuhi perkara ditetapkan Perlembagaan tetapi pada masa sama kami juga perlu mempertimbangkan organisasi parti,” katanya. – 15 November, 2017.