Iklan

MRT punca jualan sate Kajang melambung tinggi, kata Najib

Yasmin Ramlan7 years ago15th Nov 2017Berita
Najib razak 151117 tmiseth 01
Perdana Menteri Najib Razak mendakwa jualan sate Kajang melambung tinggi disebabkan adanya MRT di kawasan itu. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka sebentar tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2017.
Iklan

PERDANA Menteri Najib Razak berkata jualan sate di Kajang melambung tinggi dengan adanya laluan Transit Aliran Massa (MRT).

Najib berkata, oleh kerana wujudnya laluan MRT, nilai hartanah di kawasan yang mempunyai laluan pengangkutan awam tersebut turut meningkat.

“Saya ingat lagi enam tahun dulu bila nak mula projek, sekumpulan pemilik kedai di sepanjang Bukit Bintang datang untuk bantah projek MRT. Saya diberitahu bahawa projek MRT tidak akan menganggu pemilikan kedai-kedai mereka.

“Malah dengan ada MRT ini, nilai kedai tuan-tuan itu akan meningkat jauh lebih tinggi (berbanding) tak ada MRT.

“Selepas peristiwa itu, saya diberitahu mereka semua puas hati dengan adanya MRT, malah ramai datang jumpa saya menyesal mereka tak ada laluan MRT mereka tanya bila kawasan mereka nak ada laluan MRT.

“Sebab mereka tahu kalau ada MRT penghuni senang, kurang kesesakan jalan, malah nilai harta mereka rumah atau kondominium semuanya bertambah lebih tinggi nilainya. Malah, saya diberitahu yang jual sate di Kajang pun penjualan sate melambung tinggi dengan (ada) laluan MRT,” katanya ketika majlis perasmian Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka hari ini.

Fasa pertama MRT mula beroperasi pada 16 Disember 2016 merangkumi 12 stesen laluan Sungai Buloh - Kajang, manakala operasi fasa kedua membabitkan laluan Semantan - Kajang dilancarkan pada 17 Julai lalu.

Menurut Najib lagi, sebelum ini terdapat banyak negara yang ingin mempunyai laluan MRT tetapi tidak mampu berbuat sedemikian.

“Oleh itu saya nak rakyat sedar bahawa sebuah kerajaan, kita mampu deliver MRT. Bukan senang. Banyak negara lain nak MRT mereka sendiri. Banyak (negara) saya tak nak sebut mana negara. Banyak.

“Kalau MRT kita boleh buat, takkan benda lain kita tak boleh buat,” katanya.

Tambahnya, nama Malaysia kini harum di persada antarabangsa dan dipandang tinggi oleh negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat dan China.

“Saya baru balik dari persidangan Apec (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) dan Asean (Sidang Kemuncak Asean). Malaysia berjaya di antarabangsa kerana kita negara berjaya, bukan boleh diperlekehkan oleh sesiapa.

“Pemimpin dunia menghormati kita. Yang tak hormat kita satu dua ekor saja dalam negara,” katanya.

Sebelum ini projek MRT itu pernah dikritik pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa sistem pengangkutan baru itu hanyalah kesinambungan projek pentadbirannya dahulu.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berkata Pakatan Harapan (PH) boleh menyediakan projek MRT lebih baik dairpada kerajaan persekutuan tanpa pembaziran besar.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Keruak mengatakan projek yang menelan belanja RM21 bilion dan memulakan pembinaan pada 8 Julai 2011 itu dijangka memberi faedah kepada dua juta penduduk Lembah Klang. – 15 November, 2017.

Iklan
Iklan