Iklan

Mahkamah tolak permohonan injunksi Husam ke atas tapak Wisma Tok Guru

Zulkifli Sulong7 years ago16th Nov 2017Berita
Husam musa 20170827 hasnoor 003
Hakim berkata mahkamah tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membuat aktiviti di atas tanah milik mereka dan memerintahkan Adun Salor Husam Musa membayar kos RM7,000 kepada pihak defendan iaitu pemilik tanah itu, Mohd Yassin Yusof yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2017.
Iklan

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Adun Salor Husam Musa untuk menghalang PAS Kelantan mengadakan majlis solat hajat di atas tanah yang dibeli mereka yang menempatkan pejabatnya, Wisma Tok Guru.

Hakim Ahmad Bache berkata, mahkamah tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membuat aktiviti di atas tanah milik mereka.

Tambahan lagi katanya, pihak polis telah memberikan permit kepada majlis solat hajat yang telah dipohon oleh PAS Kelantan.

Bagaimanapun katanya, bangunan Wisma Tok Guru masih milik Adun Salor itu dan beliau bebas menggunakannya sehinggalah perbicaraan penuh kes itu diadakan nanti.

Hakim memerintahkan Husam membayar kos RM7,000 kepada pihak defendan iaitu pemilik tanah itu, Mohd Yassin Yusof yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan.

Ketika dibangkitkan oleh peguam Husam tentang isu keselamatan yang mungkin berlaku, hakim berkata, pihak polis telah memberikan permit kepada majlis malam ini dan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatannya.

“Jika ada berlaku pergaduhan maka pihak-pihak perlu datang semula ke sini,” katanya dalam penghakiman itu.

Husam membuat permohonan perintah injunksi itu terhadap Mohd Yassin Yusof yang membeli tanah pejabatnya, Wisma Tok Guru dengan harga RM700,000 dari balu Allahyarham Rosli Ibrahim, iaitu pemilik asal tanah dan bangunan itu.

Husam diwakili oleh tujuh peguam iaitu Mat Zaidan Ali, Norazham Yahya, Hisham Fauzi, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar, Shamsul Baharin Abdullah, Mohd Yusof Yakob dan Alawi Mohd Rashid.

Yassin pula diwakili oleh Nik Asma Baharom Nik Abdullah dan Takiyudin Hassan.

Pas Kelantan telah mengarahkan semua ahlinya agar hadir ke majlis solat hajat di Wisma Tok Guru malam ini selepas membeli tanah tapak bangunan itu sebulan yang lalu. – 16 November, 2017.

Iklan
Iklan