Sayakenahack disekat, kata pengasas Lowyat.net
Iklan
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menyekat sayakenahack.com, laman web tempat orang ramai menyemak status maklumat peribadi dalam kecurian dan pencerobohan data lebih 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih di Malaysia, baru-baru ini.
Sehingga ini, belum ada alasan kenapa laman web itu disekat.
Pengasas laman forum lowyat.net Vijandren Ramadass bagaimanapun percaya sekatan itu dibuat kerana ada individu yang menyalahgunakan kemudahan yang disediakan melalui laman web itu.
“Ia disekat kerana tidak wajar orang menggunakan atau memanipulasikan data yang dicuri
“Pemilik laman web itu merupakan seorang yang baik tetapi akan ada orang yang menyalahgunakan laman web tersebut untuk tujuan yang salah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight masih cuba mendapatkan respons dari pihak SKMM.
Keith Rozario pencipta sayakenahack.com berkata dia memuat naik data daripada syarikat telekomunikasi dan mempertimbangkan patutkah dia memuat naik data diperolehi daripada syarikat perubatan.
Katanya dia boleh memuat turun data itu kerana “sesiapa sahaja yang tahu boleh menjumpainya di carian Google”.
“Saya hanya buat data itu tersedia untuk orang biasa yang tak mencari di forum penggodam.”
Rozario berkata data itu dilindungi dan dia tidak menerbitkan nama dan alamat mereka terlibat.
“Jika anda tak gembira dengan ini, anda juga tidak boleh gembira dengan laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengeluarkan nama PENUH anda di laman mereka dengan masukkan nombor kad pengenalan. Sama juga dengan PTPTN dan sebagainya.”
Rozario juga menafikan membayar duit untuk mendapatkan data itu.
“Data itu tersedia percuma dalam talian. Malah penggodam yang menjual dalam ‘Lowyat’ pun sebenarnya jual balik sahaja.
“Saya tak bayar untuk data itu. Saya tak akan sokong perniagaan menjual semula data curi,” tulis Rozario di sayakenahack.com. – 16 November, 2017.