Iklan

SPR didesak benarkan wakil rakyat dilantik sebagai penolong pegawai pendaftar

Melati A. Jalil7 years ago16th Nov 2017Berita
Iklan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mesti membenarkan wakil rakyat dilantik sebagai penolong pegawai pendaftar (ARO) untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Beliau berkata bilangan pendaftaran pengundi berkait dengan bilangan ARO, dan katanya lagi,  pada 2011 sahaja, seramai 1,023,170 rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi baharu.

Pada 2011, terdapat seramai 5,720 ARO di seluruh negara.

“SPR perlu segera melantik wakil rakyat sebagai ARO untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Jika SPR tidak boleh meningkatkan kecekapannya untuk membolehkan lebih ramai pengundi mendaftar, ia perlu sama ada melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik atau membenarkan lebih ramai wakil rakyat daripada parti politik dilantik sebagai ARO.”

“Bilangan ARO pada 2012 jatuh kepada 4,777 orang, dan bilangan pendaftaran pengundi juga jatuh 30% pada 2012.

“Pada 2013, hanya 195,193 pengundi baru didaftarkan. Bilangan ARO juga menurun kepada 1,901 kerana SPR membuat keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh lantikan ARO atau melantik yang baru.”

Sebelum ini, kata Teo, parti dari kedua-dua belah pihak menggunakan sumber mereka untuk menjalankan kempen dan jelajah di pasar-pasarpagi, pasar malam atau pusat membeli-belah tanpa bantuan kewangan dari SPR.

“Sehingga kini, SPR gagal memberikan alasan kukuh mengapa ia memutuskan untuk menggugurkan semua ARO dari parti politik.”

Sehingga Mac, hampir 3.8 juta rakyat Malaysia layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi. – 16 November, 2017.

Iklan
Iklan