Iklan

Majikan merungut tentang skim subsidi upah 

Sheridan MahaveraBernard Saw5 years ago28th Mar 2020Berita
Sabah mco006 (1)
Kebanyakan majikan merasakan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan hanya memberi kelebihan kepada pekerja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.
Iklan

MAJIKAN menyuarakan rungutan kerana tiada insentif yang cukup dalam pakej rangsangan Putrajaya untuk mengekalkan pekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pekerja berpuas hati kerana ia bermakna mereka akan mempunyai pendapatan cukup untuk perbelanjaan isi rumah mereka.

Pakar berpendapat bahawa Putrajaya mesti membantu syarikat untuk mengekalkan pekerja supaya negara pulih dengan cepat dari kemelesetan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata syarat untuk memohon skim subsidi gaji kerajaan adalah terlalu ketat.

MEF juga mempersoalkan sama ada skim ini hanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) atau diperluaskan kepada syarikat yang lebih besar seperti rangkaian hotel dan syarikat penerbangan yang telah dilanda wabak pandemik.

Syarikat besar menggunakan ribuan pekerja dan jika mereka menghentikan kakitangan mereka, impak terhadap keluarga dan ekonomi akan lebih besar daripada PKS, kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

Pengerusi persatuan SME, Michael Kang memberitahu The Malaysian Insight, apa yang diharapkan oleh syarikat-syarikat itu adalah sumber pendapatan baru apabila kebanyakan perdagangan terhenti pada tempoh ini.

“Kami sangat kecewa, rangsangan itu meliputi semua orang dan pekerja, tetapi ia tidak membantu PKS,” kata Kang.

“Mereka menanggung RM600 untuk pekerja tetapi tanpa pendapatan, bagaimana PKS akan membayar gaji yang lain?

“Majikan perlu menanggung gaji dan kos, tapi siapa yang menjaga kami.”

Putrajaya mengumumkan langkah berjumlah RM250 bilion bagi membantu perniagaan yag pendapatannya terjejas selepas kerajaan menutup sebahagian besar negara untuk memerangi koronavirus.

Kini kerajaan melanjutkan PKP sehingga 14 April, dan hanya membenarkan perniagaan dalam perkhidmatan penting meneruskan operasi.  

Setakat semalam, sebanyak 2,161 kes jangkitan Covid-19 dengan 26 kematian dilaporkan. PKP dikuatkuasakan bagi memecahkan rantaian jangkitan. 

RM5.9 bilion telah diperuntukkan melalui Program Subsidi Upah yang mana kerajaan akan menyediakan subsidi sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan untuk pekerja yang berpendapatan kurang daripada RM4,000.

Syarikat-syarikat yang memohon skim itu mesti membuktikan bahawa mereka kehilangan 50% pendapatan mereka sejak 1 Januari dan tidak boleh menghentikan pekerja atau memaksa mereka untuk mengambil potongan gaji atau cuti tanpa gaji.

Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) mengalu-alukan subsidi upah dan berharap syarikat akan mengambil sepenuhnya peluang ini bagi mengelakkan pemberhentian pekerja.

“Sebagaimana yang dinyatakan perdana menteri, semua rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menangani krisis ini,” kata Setiausaha Agung MTUC J Solomon. 

“Oleh itu, kami mempercayai majikan akan meluaskan kerjasama untuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan untuk perniagaan dan menggesa mereka mengambil perhatian serius tentang nasihat PM untuk mengelakkan pemberhentian kerja dan pemotongan gaji.”

Bagaimanapun Shamsuddin daripada MEF berkata, syarat skim itu sangat tidak fleksibel.

“Ia bermakna anda perlu membuka buku anda kepada kerajaan dan membuktikan anda mengalami kerugian 50%. Tetapi bagaimana jika anda tidak dapat membuktikan anda kehilangan 50%, tetapi kurang? Adakah anda masih layak?

“Apa yang berlaku kepada pekerja yang berpendapatan melebihi RM4,000, adakah tiada bantuan untuk membayar gaji mereka?” Katanya kepada The Malaysian Insight.

Shamsuddin merasakan insentif itu tidak cukup kuat untuk membuat syarikat mengekalkan pekerja mereka.

“Saya bimbang perniagaan akan memutuskan bahawa RM600 tidak mencukupi, dan mereka akan menutup kedai dan memberhentikan kakitangan mereka. Dan itu perkara buruk kepada kita semua.”– 28 Mac, 2020.

Iklan
Iklan