Iklan

Henti hantar pelajar ke Timur Tengah, kata ilmuwan Islam

Melati A. Jalil7 years ago18th Nov 2017Berita
Islam-MiddleEast-AFP2017
Tren menghantar pelajar untuk belajar agama di Timur Tengah perlu dihentikan kerana budaya politik di sana memberi kesan buruk kepada kepercayaan pelajar, kata Pengerusi Maqasid Institute London Profesor Dr Jasser Auda. – Gambar AFP, 18 November, 2017.
Iklan

TINDAKAN menghantar pelajar untuk belajar agama di Timur Tengah perlu dihentikan kerana perbezaan budaya politik antara negara, kata seorang ilmuwan Islam.

Profesor Dr Jasser Auda, pengerusi sebuah badan pemikir berpangkalan di London, Maqasid Institute dalam satu perbincangan meja bulat di Shah Alam hari ini mengatakan mereka yang belajar di Timur Tengah seringkali gagal membezakan antara ajaran Islam dan budaya Arab dan ia memberi kesan apabila mereka kembali ke negara masing-masing.

“Kita perlu bezakan antara budaya dan Islam, tetapi itu tidak bermakna budaya adalah buruk, termasuklah budaya Arab…apa yang berlaku kini banyak disebabkan politik.

“Mereka kembali dan sebarkan pengaruh mereka. Misalnya di Amerika, Kanada dan Eropah mereka pergi dan belajar di Timur Tengah dan kemudian mereka balik, mereka pecah belahkan masyarakat, mereka buat macam-macam masalah sebab mereka belajar (buat begitu) di Timur Tengah.

“Saya rasa kita perlu hentikan tren menghantar orang ke dunia Arab, yang pada masa sekarang adalah (tempat) masa terburuk untuk belajar tentang Islam,” katanya pada perbincangan meja bulat “Reclaiming the centre: the role of religion in multi-racial society” anjuran Institut Darul Ehsan (IDE).

Katanya, mereka yang belajar Islam di Timur Tengah tidak membezakan antara budaya Arab dan Islam.

“Jadi mereka balik ke sini dan mereka melawan perjuangan yang tak wujud,” katanya menambah yang orang Islam perlu kembali kepada asal usul, nilai dan persamaan agama.

Sebelum itu, beliau mengatakan tiada keperluan untuk sebuah negara Islam dalam negara pelbagai kaum selagi mana sistem pentadbiran yang wujud adalah adil dan saksama kepada semua orang.

“Apa yang bertentangan dengan Islam adalah ketiadaan hak, ketiadaan kebaikan awam, dalam Islam kebaikan awam ditakrifkan sebagai pemeliharan kepercayaan.

“Kepercayaan semua orang tidak boleh dicabul, untuk memelihara kehidupan, keluarga dan kekayaan. Kekayaan sesiapapun tidak boleh diancam atau dicabul. Pemeliharaan maruah dan harga diri  (penting) kerana al-Quran kata setiap manusia ada maruah,” kata ilmuwan bidang jurisprudens Islam itu.

Beliau juga menggunakan misalan daripada al-Quran, mengatakan Islam tidak mempunyai masalah dengan kerajaan purba Mesir tetapi gaya urus tadbirnya.

“Jika anda buka Quran dan baca dengan fikiran terbuka bagaimana ia berurusan dengan politik, anda akan lihat yang Quran bukan hanya soal negara Islam, (tetapi) Quran (berusaha) menangani status quo.

“Nabi Yusuf adalah menteri kerajaan Mesir ketika itu. Quran tidak mempunyai masalah dengan kerajaan Mesir tetapi ia ada masalah dengan salah laku yang Firaun buat,” katanya. – 18 November, 2017.

Iklan
Iklan