Iklan

Najib, Zahid lawat Anwar sebab kemanusiaan, tiada agenda politik

Radzi Razak7 years ago18th Nov 2017Berita
Unnamed
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata lawatan dua pemimpin tertinggi itu adalah kerana rasa simpati terhadap ketua umum Pakatan Harapan itu yang sedang ditimpa musibah dan bukan kerana agenda politik. Zahid berkata demikian ketika ditemui di 1M4U Sentral di Puchong malam ini. – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2017.
Iklan

TINDAKAN melawat pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim oleh perdana menteri dan timbalannya adalah atas sebab kemanusiaan semata.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata lawatan dua pemimpin tertinggi itu adalah kerana rasa simpati terhadap ketua umum Pakatan Harapan itu yang sedang ditimpa musibah dan bukan kerana agenda politik.

“Saya tak pernah rancang melawat beliau tapi saya terpanggil apabila Perdana Menteri Najib Razak dan Rosmah lakukan ziarah. Kami mengetepikan perbezaan politik atas rasa kemanusiaan ini yang kami terjemahkan, bukan hari ini sahaja kita lihat sendiri apabila saya dan PM ke Pulau Pinang ketika banjir dulu,” kata beliau ketika ditemui di 1M4U Sentral di Puchong hari ini.

Menurut Zahid, Anwar sebagai pemimpin berjiwa besar dan keluarganya menerima dengan baik lawatan beliau dan Najib.

“Beliau (Anwar) berjiwa besar menerima kunjungan PM dan Rosmah dan hari ini (lawatan) saya dan isteri saya dengan hati yang besar.

“Saya tahu dari bahasa badannya menerima kami dengan baik,” kata beliau.

Zahid dan isterinya Hamidah Khamis melawat Anwar yang sedang berehat selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur petang tadi.

Foto lawatan Zahid bersama isteri di sisi Anwar yang berbaring di katil hospital dimuat naik akaun Twitter Zahid sekitar jam 4.30 petang tadi.

Turut kelihatan dalam foto ialah anak perempuan Anwar, Nurul Nuha dan Nurul Ilham.

Semalam, Najib dan Rosmah melawat Anwar ketika ditemani isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga ketua pembangkang dan Presiden PKR.

Anak lelaki Anwar, Muhamad Ihsan kemudian mengeluarkan kenyataan berterima kasih kepada perdana menteri atas lawatan itu.

Mengulas mengenai permintaan keluarga Anwar untuk membiarkan beliau berada di hospital “selama mana yang diperlukan”, Zahid berkata beliau akan berunding dengan Jabatan Penjara Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri yang diterajuinya serta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan rawatan terbaik diberikan.

“Saya akan berunding dengan KKM dan penjara untuk beri rawatan pasca operasi  sehingga sembuh sepenuhnya,” kata beliau.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat kali kedua menjalani pembedahan di bahu kanan selepas cedera dalam kemalangan ketika berada dalam kenderaan Jabatan Penjara Malaysia.

Lawatan Najib itu dipandang sinis pengguna Twitter awal hari ini kerana dakwaan dan sabitan liwat itu didakwa penyokong pembangkang serta pengkritik sebagai berunsur politik. – 18 November, 2017.

Iklan
Iklan