Sikap manja, bukannya kurang mahir cabaran graduan menganggur
Iklan
SIKAP manja dan jangkaan tinggi berbanding usaha dalam kalangan graduan ketika menjalani latihan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) merupakan salah satu cabaran buat pihak penganjur program.
Menurut Ketua Sekretariatnya Norashikin Ismail, terdapat graduan yang hanya menyertai program tersebut separuh jalan kerana tidak tahan ditegur ketika menjalani latihan di tempat kerja.
“Ada yang masuk tiga hari kemudian cabut lari. Kena marah dengan bos sikit cabut lari.
“Mereka ni semua ‘strawberry generation’. Bila tak boleh buat kerja tapi bos marah, dia ambil hati. Mereka sangat bangga menjadi seorang siswazah tapi semua kerja tak nak buat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata, ada juga yang mengharapkan mereka diserap masuk ke syarikat tersebut setelah menamatkan latihan, sedangkan mereka tidak menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh ketika menjalani latihan tersebut.
“Kami galakkan mereka masuk program SL1M. Kita carikan tempat untuk buat latihan.
“Ini (SL1M) hanya platform sementara untuk mereka meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk dapat kerja.
“Syarikat-syarikat itu melatih mereka untuk naikkan kebolehpasaran graduan itu. Jadi ramai graduan yang salah faham dan syarikat tersebut akan serap mereka sekiranya mereka menunjukkan prestasi dan potensi dalam organisasi (semasa latihan).
“Tapi jika anda tidak menampakkan usaha, dan tidak ‘add value’ kepada organisasi, jadi kenapa mereka perlu ambil anda (bekerja)?” jelasnya.
SL1M yang dilancarkan pada 1 Jun 2011 merupakan satu program kebolehpasaran yang bertujuan untuk membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan.
SL1M diseliakan bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan dikendalikan oleh 16 orang seketariat.
Ia dijalankan melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat swasta dan semua kos perbelanjaan melatih graduan dibiayai sepenuhnya pihak syarikat.
Tukar mentaliti satu cabaran
Norashikin berkata kebanyakan graduan yang menyertai SL1M terdiri daripada mereka yang menganggur, keluarga berpendapatan rendah atau tinggal di kawasan pedalaman serta graduan yang bekerja tetapi tidak setaraf dengan kelayakan mereka.
Bagaimanapun, pihaknya turut menerima peserta dari berlainan latar belakang kerana matlamat program adalah meningkatkan kebolehpasaran graduan tersebut dan sekaligus menurunkan kadar pengangguran graduan.
“Nak tukar sikap dan pemikiran mereka adalah cabaran yang kami hadapi sebab itu semua ada pada diri mereka.
“Memang anda orang miskin, tak cantik, tak bercakap bahasa Inggeris dengan bagus tapi kalau dengan pemikiran yang positif mereka senang untuk digilap,” katanya.
Namun katanya, berbeza pula dengan mereka daripada keluarga yang senang, kerana ada di antara mereka yang tidak menghargai dengan peluang yang diberikan.
Katanya, lebih mengecewakan apabila terdapat graduan yang mempersoalkan jumlah elaun RM1,500 tersebut sedangkan pihak mereka bersusah-payah berurusan dengan syarikat terlibat bagi menetapkan jumlah tersebut.
Menurutnya, syarikat yang terlibat akan mendapat insentif potongan cukai berganda atau insentif HRDF-SL1M ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan bagi melatih graduan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan di bawah program SL1M.
Peserta yang menyertai SL1M akan menjalani soft-skills training dan on-the-job training dengan pihak syarikat yang mengambil bahagian bagi meningkatkan keyakinan diri serta pendedahan suasana kerja yang sebenar.
Sepanjang menjalani tempoh latihan tersebut, peserta akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,500 daripada syarikat yang mereka jalani latihan. Manakala keperluan lain seperti tempat tinggal dan pengangkutan disediakan bergantung kepada lokasi syarikat tersebut.
Tempoh latihan tersebut adalah lapan hingga 12 bulan bergantung kepada syarikat.
Sehingga 31 Oktober 2017, seramai 138,398 graduan telah dibantu secara langsung dan tidak langsung menerusi program SL1M ini di syarikat-syarikat yang mengambil bahagian serta melalui program-program yang dianjurkan SL1M di seluruh negara.
Norashikin, bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menyimpan rekod bilangan pelatih yang menjalani program tersebut separuh jalan.
Masuk SL1M untuk “cantikkan resume”
Berbeza pula dengan bekas pelatih SL1M Wan Nurhusna Auni Sulaiman, 25, yang berkata dia sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai programmer di sebuah syarikat kecil dan menyertai SL1M.
Dia sebelum ini menjalani SL1M di Telekom Malaysia (TM) dan kini telah diserapkan sebagai Assistant Manager Assurance.
“Saya sanggup keluar dari bidang saya. Sebelum ini saya pernah kerja dengan syarikat kecil sebagai programmer tetapi lepas dua bulan kerja, saya dapat tahu yang syarikat tu dah tak stabil.
“Jadi saya berhenti kerja, masuk SL1M sebab nak belajar dan dapat peluang yang lebih baik.
“Bila dapat peluang bekerja dengan syarikat besar, kita belajar protokol yang berbeza dan sistem yang berbeza,” kata graduan lepasan ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik itu.
Wan Nurhusna berkata, dia faham mengenai konsep SL1M yang memberikan platform kepada graduan mempersiapkan diri sebelum ke dunia sebenar pekerjaan.
Ini kerana katanya, sebelum menyertai SL1M, terdapat di antara rakan-rakannya yang tidak menggalakkannya menyertai program tersebut kerana merasakan tiada jaminan mendapat pekerjaan.
Separuh jalan, alasan remeh
Menurut Penolong Pengurus Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Illya Salehudin Jaafar, berdasarkan pengalamannya dengan pelatih SL1M, meskipun bilangan mereka yang bersikap sedemikian adalah segelintir, namun katanya, alasan yang diberikan tidak masuk akal.
Illya menceritakan pengalamannya baru-baru ini, di mana salah seorang pelatih yang menyertai di LTAT memberikan alasan tidak boleh bangun pagi selepas menghadiri latihan selama dua hari.
“Hari pertama (latihan), dia nampak sangat gembira dan positif. Cakap best dapat buat SL1M. Lepas tu, tiba-tiba hari ketiga dia tak datang.
“Tapi disebabkan kami di sini kami ada tanggungjawab sosial, kami telefon juga sampai dapat sebab takut apa-apa (yang tak diingini) berlaku.
“Kita cuba hubungi dia, dia tak angkat (telefon). Kami sangat risau tapi akhirnya dia jawab telefon dan beritahu dia minta maaf sangat-sangat sebab dia rasa malu kerana dia cakap, ‘saya kena jujur yang saya ni tak boleh bangun pagi’.
“Kami pun tak boleh nak kata apa-apa bila dia bagi alasan macam tu,” katanya.
Illya berkata, pihaknya terkejut dengan keputusan graduan tersebut kerana katanya mereka mempunyai pilihan dua waktu untuk hadir ke tempat kerja, iaitu 8.15 dan 8.30 pagi.
“Bukan masuk pukul 7 pagi. Kita terkejut bila jadi macam ini. Tak ada tekanan dari organisasi kerana dia berhenti dalam masa sehari dua. Belum ada apa-apa tugasan diberi,” katanya.
Tambahnya, ada juga kes di mana pelatih yang datang menjalani latihan selama beberapa hari dan beri surat untuk mengundur diri kerana alasan tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja.
Mengulas masalah graduan secara keseluruhan berdasarkan dari pengalamannya, Illya yang berkhidmat di jabatan sumber manusia selama lapan tahun dan 29 tahun pengalaman bekerja di LTAT berkata, graduan hari ini bertindak tanpa berfikir panjang.
“Kita sedang menghadapi generasi baru yang mereka masuk (kerja) dan kalau mereka rasa tak sesuai, mereka boleh berhenti begitu saja,” katanya. – 20 November, 2017.