Iklan

7 daripada 10 kanak-kanak Malaysia bimbang dibuli

Yasmin RamlanMelati A. Jalil7 years ago20th Nov 2017Berita
Delta kelantan river 20171007 tmihasnoor 036
sejumlah 77% kanak-kanak Malaysia – atau tujuh daripada 10 – bimbang menjadi mangsa buli, berbanding hanya tiga daripada 10 di Jepun atau hampir 4 daripada 10 kanak-kanak di United Kingdom, menurut UNICEF. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2017.
Iklan

KAJI selidik dunia mendedahkan bahawa buli ialah kebimbangan utama bagi kanak-kanak Malaysia, diikuti dengan perubahan iklim dan kemiskinan.

Menurut kaji selidik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) yang dijalankan di 14 negara, sejumlah 77% kanak-kanak Malaysia – atau tujuh daripada 10 – bimbang menjadi mangsa buli, berbanding hanya tiga daripada 10 di Jepun atau hampir 4 daripada 10 kanak-kanak di United Kingdom.

Isu lain yang menjadi kebimbangan kanak-kanak Malaysia ialah perubahan iklim (77%), kemiskinan (74%), akses kepada pendidikan (74%), keganasan (74%) dan kesihatan yang teruk (73%), menurut kepada kaji selidik perbandingan yang dijalankan terhadap 11,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur antara sembilan dan 18 tahun.

Wakil UNICEF ke Malaysia, Marianne Clark-Hattingh berkata hakikatnya ialah lebih tiga suku daripada kanak-kanak yang dikaji selidik bimbang jika menjadi mangsa buli sepatutnya mendorong pihak berkuasa melihat isu itu secara serius.

“Penemuan perbandingan kaji selidik global itu menonjolkan isu yang menjadi kebimbangan khusus kepada kanak-kanak Malaysia berbanding di negara lain, contohnya ialah buli dan tindakan perlu diambil secara serius dan ditangani,” katanya dalam laporan itu.

Pada Jun, seorang pelajar T. Nhaveen, 18, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat dibuli secara fizikal dan seksual oleh sekumpulan budak-budak lelaki yang memang pernah membulinya di sekolah.

Kurang dua minggu sebelum kematiannya, pegawai kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia selepas dikatakan dipukul dan dicucuh api oleh sekumpulan rakan pelajar yang menuduhnya mencuri komputer riba.

Pakar psikologi Dr Mariani Mohamad Nor memberitahu The Malaysian Insight bahawa tekanan dan ketidakmampuan menangani jangkaan masyarakat moden antara faktor yang membawa kepada peningkatan kes buli dalam negara.

Kaji selidik UNICEF yang dijalankan secara online turut mendedahkan 54% kanak-kanak di Malaysia takut suara mereka tidak didengar langsung atau ia tidak dapat membantu membawa perubahan, berbanding 51% di Jepun, 61% di Amerika Syarikat (AS) dan 71% di United Kingdom (UK).

“Malangnya, lebih separuh merasakan pandangan mereka tidak didengar atau suara mereka tidak mempengaruhi perubahan, walaupun apabila ditanya tentang pandangan mereka.

“Sebagai orang dewasa kita sepatutnya mendengar, kita perlu menasihati kanak-kanak dalam isu yang menjejaskan mereka dan mengambil kira pandangan mereka.

“Walaupun kita mungkin memikirkannya, kita tidak sentiasa tahu apa yang terbaik untuk mereka,” kata Clark-Hattingh.

Lebih separuh (53%) kanak-kanak di Malaysia turut rasa tidak percaya terhadap tanggungjawab orang dewasa dan pemimpin dunia dalam membuat keputusan untuk pihak mereka, berbanding 68% di UK, 59% di AS dan 81% di Brazil.

Kaji selidik itu juga mendapati majoriti kanak-kanak di Malaysia iaitu 95% percaya dunia akan menjadi lebih baik untuk mereka jika pemimpin mendengar suara kanak-kanak.

“Peratusan itu lebih tinggi daripada mana-mana negara yang turut dikaji (89% di AS; 85% di UK; 77% di Jepun), kecuali Afrika Selatan (97%),” katanya.

Kanak-kanak Malaysia juga menyenaraikan keganasan terhadap kanak-kanak (64%) dan keganasan (60%) sebagai dua kebimbangan mereka di dunia.

“Kaji selidik itu jelas menunjukkan kanak-kanak di Malaysia mengambil kisah tentang isu global dan bimbang kesannya terhadap kehidupan mereka dan rakan sebaya.

“Mereka juga mempunyai pandangan tentang isu yang menjejaskan mereka di tanah air,” kata Clark-Hattingh.

Kaji selidik itu juga mendapati bekas presiden AS Barack Obama dan bekas perdana menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad adalah dua individu paling popular dalam kalangan kanak-kanak rakyat Malaysia.

“Barack Obama pilihan pertama kanak-kanak Malaysia untuk dijemput ke majlis hari jadi mereka, diikuti dengan Dr Mahathir Mohamed,” kata laporan itu.

Tempat ketiga dikongsi bersama bintang bola sepak Cristiano Ronaldo, selebriti Taylor Swift, Justin Bieber, dan penyanyi tempatan singer Siti Nurhaliza, serta jutawan China dan pengasas Alibaba, Jack Ma.

Kanak-kanak Malaysia juga berada di tempat tertinggi dalam carta berkenaan penggunaan telefon pintar iaitu 80%, berbanding kanak-kanak di AS (74%), UK (73%) dan Jepun (63%).

“Kanak-kanak di Malaysia juga menghabiskan masa yang sama rata antara media sosial (59%) dengan menyiapkan kerja rumah (59%),” menurut laporan itu.

Matlamat kaji selidik itu untuk mewujudkan dokumen asas tentang kesedaran kanak-kanak terhadap isu yang menjejaskan mereka di seluruh dunia. – 20 November, 2017.

Iklan
Iklan