Iklan

Pengguna perlu peka ciri keselamatan untuk elak data peribadi bocor

Yasmin Ramlan7 years ago20th Nov 2017Berita
Iklan

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia mengingatkan pengguna agar sentiasa peka dengan aspek keselamatan bagi membendung kebocoran data peribadi dengan lebih berkesan.

Menurut timbalan menterinya, Jailani Johari ini kerana penguatkuasaan di peringkat kementerian semata-mata tidak akan mencukupi.

“Bukan akta sahaja yang boleh membantu dari segi aspek penguasaan dan sebagainya, (tapi) yang penting adalah dari segi aspek kawalan itu sendiri.

“Di sinilah saya cuba tekankan sebagai pengguna kita seharusnya memastikan seboleh-bolehnya jangan berkongsi maklumat ataupun memaklumkan apa jua maklumat mengenai kita di dalam laman sesawang atau sosial media,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, pengguna dinasihatkan menukar kata laluan setiap tiga bulan dan tidak sesekali berkongsi maklumat peribadi di dalam laman sesawang atau media sosial.

“Sebagaimana dinyatakan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi, pengguna sebaik-baiknya menukar kata lalun setiap tiga bulan dan kalau boleh gunakan alphanumeric.

“Jangan sewenangnya-wenangnya memaut (klik) mana-mana pautan yang dirasakan tidak sesuai kerana ia akan beri kesan kepada kita,” katanya.

Walaupun Malaysia berada pada tempat 23 negara yang paling diserang dalam talian di dunia, pakar keselamatan siber mengatakan organisasi dan syarikat tempatan tidak cukup melabur dalam aspek keselamatan teknologi.

Pada Oktober, forum dalam talian lowyat.net menerbitkan artikel mengenai kebocoran data yang besar yang melibatkan 46.2 juta pelanggan telefon bimbit.

Minggu lalu, agensi pemantau Internet Malaysia mengesahkan mereka menyekat laman sesawang sayakenahack.com kerana wujud kebimbangan data peribadi disalah guna sekiranya sesiapa sahaja boleh memeriksa sama ada mereka digodam hanya menggunakan nombor kad pengenalan mereka.

Sayakenahack.com diwujudkan oleh pakar IT Keith Rozario agar orang awam dapat menyemak status maklumat peribadi dalam kecurian dan pencerobohan data lebih 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih di Malaysia. – 20 November, 2017.

Iklan
Iklan