Iklan

Mahu mewah bukannya gaji kecil punca polis terlibat rasuah, kata kementerian

Yasmin Ramlan7 years ago20th Nov 2017Berita
Merdeka celebration 310817 tmiseth 02
Kementerian Dalam Negeri mengatakan korupsi dalam kalangan anggota polis disebabkan desakan peribadi yang inginkan kehidupan mewah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2017.
Iklan

ISU gaji kecil bukanlah punca penglibatan anggota polis dalam rasuah dan salah guna kuasa, kata Kementerian Dalam Negeri.

Menurut jawapan lisan kementerian tersebut pada 14 November di Dewan Rakyat, pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berterusan membuat perancangan untuk menyediakan kemudahan perumahan, keselesaan tempat bekerja dan menyemak semula elaun-elaun anggota PDRM sedia ada atau memperkenalkan elaun-elaun baharu selaras dengan beban tugas yang semakin bertambah.

“Isu gaji kecil bukan faktor pendorong utama kepada penglibatan anggota PDRM dalam gejala tidak berintegirti seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Kementerian juga mengatakan korupsi dalam kalangan anggota polis disebabkan desakan peribadi yang inginkan kehidupan mewah.

“Penglibatan anggota dalam kes sedemikian lebih terdorong kepada desakan peribadi yang ingin hidup mewah, berbelanja di luar kemampuan seperti membeli kereta, pakaian dan perabot rumah yang berjenama dan mahal menyebabkan pendapatan dan perbelanjaan menjadi tidak seimbang,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi yang meminta menteri dalam negeri menyatakan usaha menambah baik sistem pergajian dan faedah perkhidmatan PDRM termasuklah mewujudkan elaun baharu bagi meringankan beban, risiko dan tahap tekanan yang tinggi dalam kalangan anggota polis.

PDRM juga telah, menurut kementerian, telah memperkenalkan 13 jenis elaun untuk diselaraskan oleh kerajaan sesuai dengan tuntutan tugas polis masa kini.  Antara inisiatif lain termasuklah menambah baik sistem gaji anggota pasukan keselamatan.

“Kerajaan telah mengambil inisiatif menambah baik sistem gaji khusus bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dengan memperkenalkan Sistem Saraan Transformasi (SST) berkuatkuasa pada 1 Januari 2013 yang mana gred gaji ATM dan PDRM diseragamkan dan menjadikan ia lebih berdaya saing dan sama taraf dengan penjawat awam lain,” katanya.

Statistik penglibatan anggota polis dalam gejala rasuah bagi tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya 187 kes atau 0.15% daripada keseluruhan keanggotaan pasukan polis, kata kementerian lagi. – 20 November, 2017.
 

Iklan
Iklan