Siasatan polis lambatkan proses audit 1MDB, kata kementerian
Iklan
SIASATAN polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah melambatkan proses audit penyata kewangan dana pelaburan negara itu untuk tahun kewangan 2015 dan 2016, kata Kementerian Kewangan.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 16 November, kementerian mengatakan polis masih belum memulangkan dokuman asal yang dirampas dari pejabat 1MDB pada 8 Julai 2015.
Syarikat itu bagaimanapun sudah memohon dokumen itu dipulangkan, katanya.
“Ini menjadikan proses audit penyata kewangan syarikat sukar diadakan kerana pihak auditor perlu merujuk kepada dokumen asal untuk mengesahkan laporan kewangan.
“Bagaimanapun, auditor 1MDB sudah memulakan proses mengaudit penyata kewangan untuk tahun 2015 dan 2016 berasaskan maklumat sedia ada. Anggaran masa siapnya proses audit ini tidak dapat ditentukan kerana siasatan polis yang masih berjalan,” katanya.
Kementerian juga mengatakan tiada keperluan untuk penyata kewangan itu dibentangkan di Dewan Rakyat dan penyata kewangan sebelum ini untuk tahun 2009 dan 2014 boleh diperolehi di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Penyata kewangan 1MDB sudah diauit dan difailkan dengan SSM, mana-mana pihak yang memerlukan penyata kewangan 1MDB perlu merujuk kepada dokumen daripada sumber itu,” katanya.
“Penyata kewangan 1MDB tidak pernah dibentangkan di Dewan Rakyat dan tidak diperlukan untuk dibentangkan,” tambahnya.
Kenyataan itu dikeluarkan kementerian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin yang meminta Menteri Kewangan Najib Razak menjelaskan kelewatan pembentangan penyata kewangan 1MDB sejak tiga tahun lalu.
Pada Januari, 1MDB mengesahkan pelantikan syarikat audit baru, Parker Randall.
Parker Randall adalah syarikat audit antarabangsa dan auditor keempat dilantik 1MDB selepas Ernst & Young, KPMG dan Deloitte Touche Tohmatsu Ltd. – 20 November, 2017.