Iklan

Pengusaha hotel berkeras pertahan polisi larangan bertudung perlu 'diajar'

Yasmin Ramlan7 years ago20th Nov 2017Berita
Hijab
Kementerian digesa mengambil perhatian dan tindakan tegas terhadap pengusaha hotel yang masih berkeras meneruskan polisi melarang pekerja bertudung. – Gambar EPA, 20 November, 2017.
Iklan

AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN), Bung Moktar Radin mencadangkan kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pengusaha hotel yang masih berkeras meneruskan polisi larangan bertudung kepada pekerjanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 untuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Langkah yang mesti diambil adalah menarik lesen (pengusaha hotel) melainkan mereka ubah cara pentadbiran. Kalau tidak diajar, mereka datang ke negara orang, mereka menindas orang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mencadangkan agar KPKT menggubal undang-undang berhubung pemberian lesen kepada pengusaha hotel agar hak wanita Islam bertudung tidak dinafikan.

“Kementerian harus mengambil perhatian dan tindakan tegas kepada mana-mana pengusaha hotel. Panggil mereka (pengusaha hotel) dan berikan amaran.

“Saya mahu syorkan kerajaan lihat isu ini secara serius. Kita gubal, kita ubah, kita undi. Saya percaya rakan-rakan di sebelah sana (pembangkang) akan menyokong akta ini.”

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pengusaha dan pengurusan hotel yang menindas pekerja Islam bertudung seperti itu perlu “diajar.”

“Bagi saya pengusaha dan pengurusan hotel ini terlalu biadap di negara kita, mereka perlu diajar. Kalau mereka mahu tunjukkan cara berniaga perlu mengikut cara mereka, mereka boleh berambus.

“Orang Malaysia berniaga di Amerika Syarikat, kita kena ikut cara mereka, tidak boleh ikut cara kita. Mereka datang ke negara kita, kena ikut peraturan negara kita,” katanya.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) sebelum ini, mengakui mengenai larangan tersebut dan mempertahankan larangan berkenaan yang dikatakan sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.

“Jangan orang luar kaut keuntungan, kita turut tepuk tangan tetapi tidak bela nasib rakyat kita. Apa masalahnya kalau pakai tudung? Kalau dia perempuan cantik, apabila pakai tudung tetap cantik.” – 20 November, 2017.
 

Iklan
Iklan