Iklan

Singapura hilang pedoman dari Batu Puteh

The Malaysian Insight7 years ago20th Nov 2017Editorial
Lee hsien loong
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mempersoalkan muslihat Malaysia memohon ICJ semak semula keputusan pada 2008 berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh. – Gambar AFP, 20 November, 2017.
Iklan

ADA satu jenaka di Malaysia. Semua orang serta-merta jadi pakar di media sosial apabila jadi sesuatu perkara – baik Langkah Perak, kehilangan pesawat MH370, banjir kilat dan tanah runtuh.

Sekarang, penyakit sama berjangkit ke seberang Tambak.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mempersoalkan muslihat Malaysia memohon Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyemak semula keputusannya pada 2008 menyerahkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, yang juga dikenali sebagai Pedra Blanca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Singapura. Katanya, ia ada kaitan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Inilah masalah dengan Singapura. Republik itu sungguh-sungguh percaya ia tahu tentang negara jirannya dan setiap tahun, Lee berdiri di hadapan rakyatnya dan memberi ucapan kepada mereka sama seperti pakar serba tahu itu.

Maklumat berkenaan lazimnya dikutip oleh pegawai diplomatnya. Namun hakikatnya, sejak kebelakangan ini, pegawai diplomat berkenaan tidak ada akses kepada pihak berkuasa di negara ini.

Kalau hari baik, dapatlah mereka berjumpa menteri rendah atau timbalan menteri. Selalunya mereka terpaksa berpuas hati dapat berjumpa dengan kelompok berkepentingan yang dekat dengan pihak berkuasa atau paling tidak, wartawan yang membuat liputan pelbagai isu.

Pun begitu, sikap pura-pura itu mesti diteruskan. Pura-pura bagaimana? Pura-pura kepada dunia bahawa Singapura betul-betul tahu apa yang berlaku di lamannya sendiri.

Susah untuk tidak bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin apabila beliau hari ini menyelar Lee berhubung kenyataannya mengaitkan isu Batu Puteh dengan PRU14.

“Memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain seperti mana yang dibuat Lee dalam konvensyen PAP. Namun, tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa,” kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini melalui akaun Twitter peribadinya.

“Untuk makluman Perdana Menteri Lee Hsien Loong, semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, pilihan raya Malaysia masih belum diumumkan.

“Sebagai peringatan, Parlimen Malaysia tidak dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh sejak penemuan fakta baru tersebut,” kata ketua Pemuda Umno itu.

PRU14 akan ditentukan atas beberapa isu, terutamanya kenaikan kos sara hidup malah sejauh mana Perdana Menteri Najib Razak mampu mengekalkan Hadi Awang dan PAS menyokong Umno.

Pulau Batu Puteh tidak akan memberikan apa-apa kesan politik, sama seperti lawatan ke Hospital Tung Shin dan janji bantuan kewangan tidak akan menggerakkan kaum Cina untuk mengundi Barisan Nasional.

Singapura dan Perdana Menteri Lee perlu mendapatkan maklumat yang lebih baik tentang Malaysia. Atau mereka akan terus membuat tanggapan yang kemudiannya akan dikecam oleh rakan-rakan mereka dalam BN.

Apatah lagi, mereka ada kepentingan untuk kerajaan sekarang mendapat mandatnya sekali lagi. Kerajaan baru di bawah pengaruh Dr Mahathir Mohamad tidak akan semesra ini dengan mereka. – 20 November, 2017.

Iklan
Iklan