Bagaimana peneroka Felda terselamat daripada berhutang
Iklan
KETIKA majoriti peneroka Felda menanggung beban hutang kesan daripada perjanjian tanam semula kelapa sawit, Bakar Hashim, 62, bersyukur kerana hidupnya tidak susah seperti rakan-rakan penerokanya yang lain.
Ketika rakan-rakannya di Felda Chini Timur Satu memilih untuk menyertai skim tanam semula yang diuruskan oleh agensi itu, Bakar sebaliknya bertekad melakukannya sendiri kerana curiga dengan syarat perjanjian yang dilihatnya kabur dan bakal mengikat peneroka sampai ke anak cucu.
Beliau mengeluarkan modal RM15,000 untuk kos tanam semula kelapa sawit di ladangnya yang seluas empat hektar. Kos itu jauh rendah berbanding hampir RM100,000 yang ditanggung oleh rakan-rakannya yang menyerahkan urusan tanam semula itu kepada Felda.
Bakar membeli sendiri anak benih kelapa sawit, meracun sendiri pokok kelapa sawit yang tua serta mengupah orang membuat lubang, membeli baja dan menanam anak benih sawit di ladangnya.
Selepas selesai tiga tahun, Bakar mendapat bayaran balik RM17,000 daripada Felda melalui Tabung Tanam Semula dan juga RM5,000 insentif menebang semua pokok tuanya.
“Oleh itu, saya bukannya habis RM15,000 kerana tanam semua sendiri tetapi untung RM7,000 kerana tidak menyerahkan kepada Felda untuk tanam semula,” kata Bakar, yang kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Chini.
Felda Chini Timur Satu terletak dalam gugusan Felda China dalam kawasan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Perdana Menteri Najib Razak.
Bakar menolak daripada menyertai skim tanam semula perjanjian itu pada 2004 selepas berbincang dengan anak-anaknya.
Ketika Felda mengemukakan rancangan agar semua peneroka menyertai perjanjian itu 13 tahun lalu, Bakar yang tidak dapat menghadiri majlis penerangan oleh Felda mewakilkan anaknya, Mohamad Hisommudin Bakar.
Hisommudin, ketika itu pemimpin pelajar universiti, tidak nampak rasionalnya penerangan yang diberikan oleh Felda yang hanya memberikan gambaran kononnya peneroka akan gagal jika menanam sendiri kelapa sawit dan hanya akan berjaya jika menyertai perjanjian tanam semula itu.
Menurut Hisommudin, hampir semua lebih 400 peneroka bersetuju dengan bantahan-bantahan yang beliau bangkitkan pada majlis penerangan itu sehinggakan pegawai Felda yang memberikan penerangan itu meninggalkan majlis sebelum tamat.
Namun, selepas beliau balik ke kampus, Felda memberikan penjelasan dan penerangan serta memujuk semula peneroka dengan pelbagai cara untuk menandatangani perjanjian tersebut, kata Hisomuddin.
“Akibatnya, hanya ayah saya dan 10 peneroka lain sahaja yang tidak menandatangani perjanjian itu dan mengusahakan sendiri tanam semula kebun di kawasan kami,” cerita Hisommudin kepada The Malaysian Insight.
Berdasarkan kes di tempat beliau, Hisommudin yakin, tidak sampai 5% peneroka di seluruh negara yang tidak menandatangani perjanjian itu.
Susah senang
Tetapi mengerjakan sendiri kerja-kerja tanam semula itu bukannya mudah apatah lagi berdepan dengan tekanan dan cemuhan daripada peneroka Felda yang lain dan Felda sendiri.
Ibu Hisommudin, Hawariah Mohamad masih ingat, betapa susah dan teruknya mereka ketika mengambil sikap untuk mengusahakan sendiri tanam semula kelapa sawit mereka.
“Keliling rumah kami ini penuh dengan anak-anak sawit dalam polibeg. Sampai ada jiran yang perli kami. Pokok apa tu, mereka tanya. Kami jawab selambanya, pokok salak,” cerita Hawariah, mengimbau kenangan pahit manis mengusahakan sendiri tanam semula itu.
Anak pokok kelapa sawit nampak serupa dengan anak pokok salak, sejenis tanaman buah-buahan tempatan.
Beliau juga masih ingat bagaimana mereka sekeluarga ditekan selepas mengambil keputusan tidak mahu menandatangani perjanjian tanam semula dengan Felda.
“
Hisommudin berkata, emaknya pernah memaklumkan ayahnya suatu kali sudah putus asa dengan tekanan Felda dan peneroka yang lain.
Berkat kesabaran dan usaha gigih itu, ayahnya kini menikmati hasilnya sekarang.
Nikmati hasil
Kalau dahulu, Bakar berjalan tunduk kepala kalau ke mana-mana dalam kawasan Felda itu kerana diboikot oleh peneroka dan pegawai Felda kerana melawan kehendak mereka, kini beliau berjalan dengan penuh bangga tanpa ragu-ragu lagi.
Beliau kini mendapat pendapatan antara RM5,000 hingga RM5,500 sebulan dari ladang sawitnya, tanpa dibebani sebarang hutang dengan Felda.
Sedangkan rakan-rakannya yang lain mendapat hasil antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja sebulan dan dibebani pula hutang sehingga ratusan ribu ringgit, bergantung kepada lama mana mereka menyerahkan kebun itu kepada Felda.
Sejak 2004 hingga 2016 lalu, peneroka yang menyerahkan tanam semula kepada Felda mendapat bayaran sara hidup RM1,500 daripada Felda yang merupakan pinjaman selama lebih 12 tahun.
Ia menyebabkan setiap peneroka dibebani hutang ratusan ribu ringgit iaitu hampir RM100,000 seorang.
Ketika ditemui di rumahnya dekat Chini Timur Satu, Bakar kelihatan hidup dengan tenang.
Dengan bantuan isteri serta anak bongsunya, Bakar umpama pengurus ladang manakala anak bongsunya yang berumur 22 tahun bertindak sebagai penyelia ladang.
“Semua anak-anak saya yang lain duduk di luar kawasan Felda dengan kerja masing-masing,” katanya.
Kerja-kerja ladang dibuat oleh pekerja Indonesia atau Bangladesh yang mereka gaji, sebagaimana kawasan Felda yang lain di seluruh negara.
Bakar juga sudah membeli sebuah lori kecil untuk mengangkut buah dan baja, yang dipandu oleh anaknya.
Di kawasan ladangnya, Bakar juga menternak lembu yang dilepas bebas. Menjelang Hari Raya Korban lalu, Bakar memiliki lebih 50 ekor lembu yang sebahagiannya beliau jualkan untuk dibuat korban.
Di samping itu, Bakar juga memajak 10 ekar ladang sawit yang tidak mahu diusahakan oleh pemiliknya.
“Melalui ladang sendiri, ladang pajak dan lembu, saya rasa ayah memperolehi pendapatan lebih RM10,000 sebulan.
“Ayah kini sedang berusaha untuk pergi menunaikan haji namun belum mendapat tempat,” kata Hisommudin yang berbangga dengan kejayaan ayahnya. – 21 November, 2017.