Iklan

Felda semai janji, peneroka tuai hutang

Zulkifli Sulong7 years ago21st Nov 2017Berita
Felda chini 20171117 tmihasnoor 003
Ahmad Hashim (kanan) bersama beberapa peneroka Felda Chini 4 di Pahang meluahkan rasa tidak puas hati dengan beban hutang yang terpaksa ditanggung akibat perjanjian penanaman semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 November, 2017.
Iklan

SELEPAS menandatangani perjanjian tanam semula dengan Felda, Ahmad Hashim, 61, peneroka di Chini 4, meninggalkan kawasan Felda itu untuk bekerja di luar.

Selepas tiga tahun, apabila pokok-pokoknya sudah mengeluarkan buah, Ahmad balik semula ke kawasan Felda dan memohon untuk mengambil alih semula ladangnya sebagaimana yang dijanjikan.

Namun, Felda menolak permohonan beliau itu dengan alasan titik pulang modal belum sampai.

“Mereka anggar ia akan sampai selepas lima tahun. Jadi saya kena tunggu dulu,” cerita Ahmad ketika ditemui di Felda Chini, kawasan Felda yang terletak dalam Parlimen Pekan, yang diwakili Perdana Menteri Najib Razak.

Selepas lima tahun, Ahmad sekali lagi menemui pihak Felda untuk mengambil alih ladangnya. Sekali lagi Felda menolak menyerahkan kembali ladang itu kepadanya dengan alasan yang sama, belum sampai titik pulang modal.

Sejak itulah, Ahmad mula tertanya-tanya, berapakah sebenarnya hutang beliau dengan Felda dan jumlah hasil yang dikeluarkan oleh ladangnya sehingga belum sampai titik pulang modal.

Ini kerana, beliau tahu, selepas tiga tahun, pokok kelapa sawit akan mula mengeluarkan buahnya.

Menurut seorang bekas pengurus ladang, Shariman Alang Ahmad, kelapa sawit akan mengeluarkan hasil antara 6 hingga 9 metrik tan sehektar setahun pada tahun keempat selepas ditanam.

Hasilnya akan meningkat sekitar 3 tan setiap tahun sehingga mencapai 20 tan sehektar setahun apabila pokok berumur 8 atau 9 tahun. Hasilnya akan mula menurun selepas pokok itu berumur 20 tahun.

Harga kelapa sawit sekarang adalah sekitar RM5,500 hingga RM6,500 satu tan metrik.

Dilayan macam bola

Usaha Ahmad untuk mendapatkan laporan penuh kewangan atau kunci kira-kira ladangnya sangat sukar. Beliau dilayan umpama bola ke sana dan ke sini.

“Saya nak tahu berapa jumlah hutang saya dan berapa hasil ladang saya. Itupun susah sangat ke?” kata Ahmad, yang sangat kesal dengan pengurusan Felda di tempatnya.

Akhirnya, selepas enam tahun tanam semula itu berjalan, Ahmad diberitahu beliau berhutang kira-kira RM98,000 dengan Felda.

“Saya punyalah terkejut dengan hutang itu. Selepas enam tahun, saya berhutang RM98,000. Saya mengamuk kepada Felda kerana tidak diberitahu ketika kami nak tanda tangan surat perjanjian dulu,” katanya.

Hutang itu, katanya berpunca daripada dua sumber utama iaitu kos tanam semula dan bayaran sara hidup yang diberikan Felda pada setiap bulan kepada peneroka.

“Isunya ialah berapa pendapatan daripada ladang kami selepas ia mengeluarkan hasil, mereka tak pernah beritahu,” katanya.

Beliau kemudian mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan Felda dan peneroka tentang kedudukan perjanjian tanam semula dan kesannya kepada peneroka.

“Pada awal tahun 2010 dulu, kami berjaya kumpulkan kira-kira 300 peneroka dan berbincang dengan pegawai Felda. Dalam majlis itulah saya timbulkan semua isu ini.

“Saya bangkitkan apa yang dibuat oleh Felda sekarang bertentangan dengan wawasan pengasas Felda dahulu iaitu Allahyarham Tun Razak,” kata Ahmad.

Sejak majlis itulah, katanya, para peneroka mula berusaha mengambil kembali ladang mereka daripada diuruskan Felda.

“Sekarang, di kawasan saya Chini 4 yang mempunyai lebih 400 peneroka tinggal 100 lebih sahaja yang masih lagi menyerahkan ladang mereka untuk diuruskan Felda,” katanya.

Sebagai pihak yang mengusahakan sendiri ladang selepas diambil alih daripada Felda, Ahmad mendapat RM4,500 hingga RM5,500 sebulan hasil daripada ladangnya.

Generasi kedua peneroka, Mohd Firdaus Salleh berkata ayahnya berhutang lebih RM130,000 kepada Felda akibat perjanjian tanam semula dan kini dipotong RM400 sebulan untuk membayar balik hutang itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 November, 2017.

Sampai bila nak berhutang

Peneroka mula masuk ke kawasan Felda Chini pada 1978. Selepas lebih 20 tahun, pokok kelapa sawit yang asal terpaksa ditebang kerana hasilnya tidak baik lagi dan pokok baru terpaksa ditanam semula.

Kerja penanaman semula di Felda itu bermula pada 2004 dan sebahagian besar peneroka masih menyerahkan kepada Felda untuk menguruskan ladang sehingga kini dengan mereka menerima hasilnya sahaja, tetapi ia tidak berbaloi berbanding jika diusahakan sendiri.

Menurut Ahmad, mulai Jun tahun ini, Felda tidak lagi membayar elaun sara hidup RM1,500 sebulan kepada peneroka seperti sebelum ini, tetapi pembayaran dibuat berdasarkan purata hasil buah yang dikeluarkan dari blok ladang mereka.

Hasil purata itulah yang diserahkan kepada peneroka sebagai pendapatan bulanan mereka.

Menurut Mohd Firdaus Salleh, 31, anak kepada salah seorang peneroka yang menyerahkan sepenuhnya ladang kepada Felda sehingga sekarang, bapanya mendapat kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berbanding RM1,500 elaun sara hidup sebelum ini.

Namun, dari situlah hutang mereka dipotong.

Katanya, bapa beliau berhutang lebih RM130,000 kepada Felda akibat perjanjian tanam semula itu dan kini dipotong RM400 sebulan untuk membayar balik hutang itu.

“Masalahnya sampai bila ia akan selesai hutang ini? Sudah tentu selepas ini kami pula yang mewarisinya sehingga pokok kami ditanam semula dan berhutang lagi,” kata beliau. – 21 November, 2017.

Iklan
Iklan