Trump versi Malaysia
Iklan
SILAP hari bulan, Donald Trump akan kalah November ini. Amerika sedang marah kepadanya, meski marah itu belum betul-betul nampak membuak-buak.
Rakyat masih bergelut untuk menyelamatkan diri daripada dihinggapi atau mati akibat wabak Covid-19. Apabila selesai nanti, tidak mustahil kemarahan terhadap sang presiden akan lebih parah daripada wabak yang merebak.
Amerika telah menjadi negara paling buruk terkesan. Lebih teruk daripada Itali. Bahkan, lebih teruk daripada Wuhan itu sendiri.
Sampai sekarang, Trump tidak mahu menyebut penyakit berkenaan sebagai “Coronavirus” atau “Covid-19”.
Dia memakai nama “Virus China”. Media atau orang awam pun mengkritik — tapi Trump ada jawapan. Katanya, memang virus berkenaan berasal dari China.
Walhal dengan menyebut Covid-19 sebagai “Virus China”, ia tidak lain adalah strategi halus untuk menyalahkan China. Penting bagi Trump mencari kambing hitam sekarang. Tapi malang, kesannya tidak seperti yang dia mahukan.
Apa yang terjadi, puak pelampau kulit putih yang mendengar istilah “Virus China”, telah menggunakannya untuk menindaskan orang-orang Amerika berketurunan Cina.
Sudah wujud kes diskriminasi dan serangan ke atas orang Cina-Amerika. Di jalan atau dalam keretapi. Walaupun si Cina adalah warganegara Amerika.
Dan kelmarin, Trump mencari kambing hitam lagi. Kambing yang lain.
Dia nampak ada dan boleh dikembiri. Lalu Trump pun menghalakan serangan ke arah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula. Dengan kuasa sebagai presiden, Trump pun memberhentikan serta-merta sumbangan Amerika kepada WHO. Jumlahnya AS$116 juta. Bukan sedikit!
Kata Trump dalam sidang media, WHO tidak telus. Tidak memberitahu keadaan sebenar kepada Amerika tentang betapa bahaya dan buruknya wabak berkenaan.
Bagi kita, memang tak masuk akal sebuah negara “super-power” tidak tahu tentang koronavirus dan terpaksa bergantung pada laporan WHO semata-mata.
Tapi, itulah cara Trump, seseorang perlu disalahkan atas kecuaiannya sendiri.
Di sebelah WHO pula, hilangnya sokongan kewangan daripada Amerika, sekitar 40% daripada sumber badan dunia itu, akan banyak menjejaskan mereka.
WHO tidak boleh bergerak dengan cukup berkesan untuk membantu menangani wabak di seluruh dunia. Banyak program terhenti.
Trump tidak peduli. Apa yang mustahak baginya ialah dia sudah kalah ‘pusingan pertama’. Sedangkan baru beberapa bulan lalu, dia dengan yakin menyatakan bahawa Covid-19 tidak akan melemahkan atau menjejaskan Amerika. Sama ada nyawa rakyatnya, atau pertumbuhan ekonomi mereka.
Jadi, apa yang sedang dilakukan Trump sekarang adalah sebentuk kempen politik. Kempen untuk mempertahankan popularitinya dalam menghadapi pemilihan presiden November ini.
Memang tidak mudah. Kali ini dia boleh kalah kerana sejak awal pun, Trump tidak jujur dan mengambil keputusan-keputusan yang salah.
Dia ego. Semakin dibaiki kesalahan, semakin merosakkan. Macam tikus mondok dalam sebuah peribadi Melayu.
Banyak negeri di Amerika telah membuat kuncitara cara masing-masing. Ada yang ketat. Ada yang biasa-biasa sahaja di mana penduduknya hanya dinasihatkan untuk melakukan perbatasan sosial dan bersihkan tangan. Tidak ada tekanan undang-undang dilaksanakan.
Hanya apabila keadaan semakin buruk, maka kuncitara atau langkah kawalan lain diambil. Misalnya di New York: kini kota raya itu paling buruk terkesan. Jangankan orang awam, belasan ribu anggota polis turut terjangkiti wabak. Di bawah kota itu, banyak sekali mengalir air mata.
Trump pun bukan orang lain bagi New York. Dia berasal dari sana. Namun dia sepertinya tidak begitu memberi tumpunan di kota di mana dia berasal.
Mungkin sebab Datuk Bandar New York bukan orang Republikan. Andrew Cuono dari Demokrat.
Dalam se-Amerika sibuk melawan wabak, sempat pula Trump menyarankan agar pekerja kembali bekerja. Baginya ekonomi lebih penting.
Namun bukan ekonomi orang bawah — walaupun banyak pekerja itu adalah golongan bawahan — tetapi dengan cara itu, syarikat-syarikat dapat terus buat untung.
Kalau ada pekerja yang mati, kematian bagi sang politikus seperti Trump adalah perkara lumrah. Kalau tidak mati kerana wabak, manusia tetap mati kerana sebab lain.
Di ketika inilah, kita boleh melihat muka dan perangai sebenar seseorang pemimpin. Hatinya manusia, atau haiwan. Tanpa ujian getir, memang kata-kata manis membela rakyat boleh dianyam di hujung bibir.
Kita di Malaysia, jangan suka-suka sangat.
Kalau pun kita tidak ada pemimpin yang bernama Donald Trump, itu tidak bermakna “Trump” versi Malaysia tidak wujud.
Bahkan bagi ramai rakyat yang mengikuti perkembangan politik secara dekat, tentu kita perasan bahawa gelombang kedua wabak yang melanda negara sekarang boleh dikatakan disebabkan oleh rampasan kuasa 24 Februari 2020. Rampasan kuasa itu juga lebih dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.
Seperti Trump — ketika kes jangkitan masih kecil dan belum ada kematian — sudah tentu mereka yang melakukan rampasan kuasa akan menafikannya.
Penguasa yang sama juga yang menyatakan bahawa ekonomi Malaysia tidak akan terjejas oleh wabak. Bagi mereka, seperti Amerika, Malaysia kalis wabak apa pun.
Kata-kata indah, tinggal kata-kata indah. Macam mimpi di bolong hari.
Hari ini, daripada semua laporan badan-badan seperti Bank Dunia atau Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia diramal berkembang di bawah 1%.
Lebih tepat, unjuran berkenaan adalah sekitar -0.4 hingga -0.1. Maknanya berada di tahap “ne-ga-tif”!
Kebanyakan rakyat bukan pakar ekonomi. Dan kita tidak mampu ingat, bilakah terakhir pertumbuhan negara berada pada tahap negatif?
Kalau tidak silap, dalam satu tahun selepas krisis ekonomi 1998, pernah sekali dicatat pertumbuhan Malaysia pada kadar 1%.
Satu peratus pun, kira rasa, sudah teruk. Pengangguran bertumpuk. Syarikat kecil tutup. Ada yang bankrup. Bayangkanlah kalau pertumbuhan berada pada tahap ne-ga-tif. Tentulah lebih buruk.
Pakar-pakar ekonomi di merata dunia pula menjangkakan, keadaan tidak akan segera pulih. Selagi tidak ditemukan vaksin untuk penyakit itu, selagi itulah ekonomi berada di dalam tekanan yang dahsyat. Mereka sering mengingatkan bagaimana kemurungan ekonomi dunia pada 1930 dahulu.
Lantas pilihannya ada dua. Sama ada kerajaan mahu melayani syarikat-syarikat besar, atau peniaga kecil dan pekerja biasa terlebih dahulu?
Kalau mengikut cara Trump, pekerja ibarat ‘robot’ atau mesin dalam kilang yang besar. Kalau ada bahagian yang rosak — atau mati — itu perkara biasa.
Bahagian berkenaan boleh dibuang dan diganti semula. Apa yang penting, mesin perlu terus berjalan untuk mengeluarkan barangan.
Agaknya Trump akan menjadi lebih manusiawi, kalau ada anak-anaknya yang mati akibat wabak.
Di Malaysia pun sama, menteri akan lebih berhati manusia kalau ada ahli keluarga mereka yang pergi, sedang mereka tidak dapat mengusung ke kuburan. Hanya melihat dari jauh. Pun begitu, kita minta dijauhkan.
Tapi apakan daya, nampaknya keputusan kerajaan akan selalu mencerung menguntungkan syarikat besar. Bukan pekerja biasa.
Apatah lagi rakyat — yang di mulut, walaupun selalu disebut, namun tanpa apa-apa makna. Mereka yang di rumah pangsa, di kampung-kampung atau kawasan miskin, tidak ubah diibaratkan macam skru. Kalau patah. Buang.
Kalau mati, tanam. Boleh diganti baru. – 17 April, 2020.
* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.