Iklan

Ujian saringan pekerja lambatkan operasi, kata peniaga

Bernard Saw5 years ago20th Apr 2020Berita
Iklan

PEMAIN industri menyuarakan kebimbangan terhadap wujudnya kerenah birokratik yang boleh melambatkan operasi perniagaan mereka walaupun kerajaan membenarkan lebih banyak industri berjalan semula semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Walaupun mereka mengalu-alukan keputusan kerajaan itu, namun kebimbangan utama mereka adalah keperluan untuk majikan memastikan pekerja mereka menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum mula beroperasi semula.

Ini antara peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bahrin memberitahu The Malaysian Insight peraturan sedemikian akan mengambil masa yang lama untuk dilengkapkan.

Katanya jika sesebuah majikan memiliki jumlah pekerja yang ramai, maka ia akan menyebabkan operasi tertangguh sebelum bermula.

“Ia ibarat menekan brek sebelum mula berjalan. Proses ini tidak akan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata walaupun amat penting buat kerajaan untuk meletakkan syarat bagi mengawal penularan Covid-19, tetapi ia tidak perlu menyukarkan sektor ekonomi.

“Masalahnya, jika memohon kepada Miti untuk kelulusan, ia akan mengambil masa lebih seminggu.

“Sepanjang tempoh ini, anda tidak tahu sama ada perlu atau tidak menghantar pekerja untuk menjalani ujian saringan.

“Ini kerana anda tidak tahu sama ada permohonan akan diluluskan.”

Shamsuddin juga bersetuju dengan pilihan agar petugas kesihatan datang ke kilang atau syarikat untuk melakukan ujian saringan berbanding mengerahkan pekerja ke klinik.

“Kita sudah katakan bahawa banyak kerenah birokrasi termasuk keperluan untuk mendapatkan kelulusan.

“Jadi kerajaan perlu terus mengisytiharkan industri boleh menyambung operasi, lokasi dan prosedur standard operasi.

“Jika majikan merasakan ia tidak boleh dipenuhi, maka operasi syarikat itu tidak boleh dijalankan semula.”

Beliau berkata hanya majikan yang boleh memenuhi syarat-syarat relevan boleh menyambung operasi.

“Ini adalah perkara penting, dan bukannya menguruskan semua termasuk perkara-perkara kecil.”

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia Soh Thian Lai juga bersetuju keperluan ujian kesihatan untuk pekerja akan melambatkan operasi.

“Namun ini adalah langkah yang bagus dan selepas menjalani ujian Covid-19, pekerja majikan yang mendapat kelulusan akan dapat bekerja dengan tenang dan mengekalkan penjarakan sosial,” katanya.

Beliau berkata tiada kepastian sama ada 3,000 klinik yang disenaraikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menjalankan ujian saringan sudah memulakan khidmat mereka selain kapasiti yang mereka miliki.

Selain itu katanya, wujud kebimbangan sama ada jumlah makmal mencukupi untuk menguji sampel dan menyediakan keputusan ujian dalam tempoh 24 jam.

Katanya pekerja hanya boleh ke klinik yang disenaraikan Perkeso berdekatan rumah mereka untuk menjalani ujian tersebut semasa PKP.

“Kami mencadangkan agar syarikat yang memiliki tenaga kerja sama boleh menjalani ujian itu di tempat kerja mereka.” – 20 April, 2020.

Berita penuh di sini.
 

Iklan
Iklan