Iklan

Selangor akan perkenal ekspo raya dalam talian, kata MB

Amirudin shari tmikamal 01
Kerajaan negeri masuk campur bagi menyelamatkan peniaga kecil yang terjejas susulan kekangan berniaga semasa PKP berjalan sedang mereka bergantung hidup daripada hasil perniagaan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2020.
Iklan

SELANGOR akan memperkenalkan ekspo raya dalam talian, bagi membantu peniaga kecil di negeri itu beralih ke platform perniagaan digital, kata Menteri Besar Amirudin Shari, selepas penularan Covid-19 meruntuhkan cara perniagaan lama.

Selangor sebelum ini membangunkan bazar Ramadan dalam talian bagi membantu penjaja makanan beroperasi di tengah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, melalui kerjasama dengan syarikat penghantaran makanan.

“Sebaik minggu pertama Ramadan, kerajaan negeri akan buat satu lagi e- bazar, tapi kali ini e-ekspo raya.

“Kita tengah runding dengan pengendali pakaian, songkok, sampin, kuih raya, bahulu, dan dodol… kita akan pasarkan juga melalui atas talian,” katanya dalam sesi interaksi Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Pakatan Harapan di Facebook, hari ini.

Sesi disertai Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. 

Menurut Amirudin, kerajaan negeri masuk campur bagi menyelamatkan peniaga kecil yang terjejas susulan kekangan berniaga semasa PKP berjalan sedang mereka bergantung hidup daripada hasil perniagaan.

“Kalau kita tidak membantu mereka cuba adaptasikan mereka dengan perniagaan atas talian ini kebimbangan kita dia akan mengurangkan pendapatan dan sebenarnya menyebabkan jaringan kegiatan ekonomi merudum teruk…apatah lagi selepas dan semasa Covid-19 ini,” katanya.

Beliau menjelaskan ada 16,445 peniaga kecil di Selangor yang berniaga di bazar Ramadan serta ekspo Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pentadbirannya setakat ini mengenal pasti tidak lebih 20% peniaga yang dapat dibantu melalui platform perniagaan dalam talian itu, dan pihaknya mensasarkan lebih ramai lagi akan dapat dibantu.

“Kalau kita tak benarkan yang lain beroperasi ini akan menganiya mereka kerana biasanya ketika Ramadan mereka dapat tambahan pendapatan untuk berniaga,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau dan mengawal penjualan makanan dalam talian bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini.

“Kerajaan negeri akan teliti operasi dari rumah ini, bukan kekang tapi untuk pastikan kualiti dan standard dapat dijaga elakkan keracunan makanan dan perkara tak diingini,” katanya. 

PKP yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu sudah dilanjutkan dua kali sehingga 28 April. 

Dalam tempoh seminggu yang lalu, data yang dilaporkan dari hari ke hari oleh Kementerian kesihatan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh semakin bertambah sementara jangkitan baharu semakin berkurangan.

Sesetengah negeri juga tidak mempunyai kes jangkitan baharu dalam masa beberapa hari berturut.

Setakat semalam, 98 lagi pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan keseluruhan kes pulih meningkat kepada 3,295 atau bersamaan 60.74% daripada 5,425 kes.

Selangor, negeri yang mempunyai jumlah jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 1,345 kes, masih mempunyai 360 kes yang sedang dirawat. Dua mukim iaitu Klang dan Hulu Langat kekal dikelaskan dalam kategori zon merah dengan lebih 41 kes. – 21 April, 2020.

Iklan
Iklan