Iklan

RoS beri peluang Bersatu kemuka penyelesaian masalah parti

Radzi Razak7 years ago21st Nov 2017Berita
Ppbm ros tmikamal 05
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan 'positif' antara kedua pihak hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2017.
Iklan

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bersetuju memberi ruang kepada parti itu untuk membentangkan cadangan penyelesaian urusan penubuhan parti itu yang masih belum selesai.

Presidennya Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan ‘positif’ antara kedua pihak hari ini.

“Terima kasih kerana RoS nampaknya telah memberikan ruang dan peluang yang banyak untuk kita perjelaskan situasi di dalam PPBM, terutama dalam beberapa perkara yang telah disebutkan sebelum ini.

“Kita telah mengambil kesempatan untuk jelaskan status daripada awal penubuhan sampai ke fasa sekarang dan saya sebutkan kita masih dalam peringkat penubuhan. 

“Pendek kata pertemuan ini baik kerana RoS setuju beri ruang kepada PPBM mengusulkan beberapa cadangan yang sesuai dengan cara mana dan bagaimana kita nak melaksanakan AGM dalam keadaan pertubuhan masih dalam proses pembentukan sayap-sayap,” kata Muhyiddin selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim di Putrajaya hari ini.

Parti yang diasaskan oleh bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin itu ditubuhkan pada Ogos 2016 dan diluluskan pendaftaran peringkat kebangsaan oleh RoS pada September tahun lalu sebelum menyertai gabungan pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) tahun ini.

Setakat November ini, Bersatu telah mempunyai 136 Bahagian dan kebanyakannya masih di peringkat penaja.

RoS baru-baru ini mendedahkan parti itu berdepan kemungkinan dibatalkan penubuhannya kerana telah melanggar perlembagaannya sendiri dan Akta Pertubuhan kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas setahun penubuhannya.

Menurut Surayati, parti itu perlu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekiranya ingin mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin turut berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam parti dalam masa “sehari dua” dan akan mengajukan kepada RoS dan penasihat undang-undang mereka dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak mendedahkan contoh penyelesaian yang bakal dilakukan pihaknya.

Pertemuan di Ibu Pejabat RoS itu berlangsung kira-kira satu jam setengah dengan Bersatu diwakili Muhyiddin, Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Shahruddin Md Salleh.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan semua ahli Bersatu agar bertenang dan memberikan masa kepada kepimpinan parti bagi menyelesaikan masalah itu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Pakatan Harapan tidak dapat didaftarkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) depan sekiranya masalah Bersatu dan DAP berterusan.

“Itu tak disebutkan, soal GE(PRU) kita lihat dalam konteks tempoh-tempoh yang dianggap sesuai untuk membolehkan kita melaksanakan kehendak yang diperuntukkan dalam undang-undang,” kata beliau.

Muhyiddin turut berkata Bersatu berharap agar penyelesaian itu dapat dilakukan tanpa perlu terpaksa bertanding di PRU akan datang menggunakan logo parti PKR seperti yang dicadangkan presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kita harap tak sampai tahap itulah. Pertemuan nampak kefahaman. Kerana parti kita baru kita perlu ambil masa dan kita jelaskan. Jadi sekarang kita cadangkan untuk selesaikan sehari dua ini,” katanya.

Isu antara parti itu dan RoS bermula selepas lapan bahagian di Johor mengadu kepada RoS bahawa kepimpinan parti itu gagal mematuhi perlembagaan parti kerana gagal mengadakan AGM dengan bahagian dan cawangannya.

Muhyiddin, yang juga bekas timbalan presiden Umno sebelum ini berkata, perlembagaan Bersatu hampir sama dengan Umno, dengan AGM bermula di peringkat cawangan sebelum ke bahagian dan seterusnya kebangsaan. Bersatu masih belum mendaftarkan walau satu cawangan.

“Umno selepas baru ditubuhkan semula pada 1988, turut mengambil masa selama dua tahun untuk membuat AGM,” katanya. – 21 November, 2017.

Iklan
Iklan