Benarkan peruncit beroperasi untuk elak ekonomi lumpuh, kata persatuan
Iklan
PUTRAJAYA perlu membenarkan perniagaan runcit kembali beroperasi agar keseluruhan ekonomi tidak terhenti berikutan andemik Covid-19, kata Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).
Presidennya Garry Chua memberitahu The Malaysian Insight, sektor peruncitan memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk kembali ke landasan asal dan penutupan operasi yang berterusan bukan sahaja memberi kesan terhadap peruncit malah juga kepada pengeluar.
“Kami perlukan setengah tahun untuk stabil kembali dan enam bulan lagi untuk kembali normal,” kata Chua yang menggesa kerajaan untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membenarkan perniagaan runcit kembali beroperasi.
Mesin pengilang yang kini tidak beroperasi, juga boleh mengalami kerosakan yang menyebabkan pertambahan kos untuk pembaikan, tambahnya.
Chua berkata, peruncit berdepan tekanan kewangan berikutan perbelanjaan yang berterusan tanpa sebarang pendapatan kerana ketidakpastian bila perniagaan mereka boleh diteruskan.
“Tekanan kewangan yang dihadapi kini ialah untuk membayar gaji pekerja dan pelbagai bayaran lain.”
Sebagai contoh katanya, rangkaian perniagaan yang beroperasi daripada pusat membeli belah terkenal akan mengalami overhed antara RM20,000 dan RM50,000 sebulan.
Menurut Chua, situasi ekonomi sekarang “lebih buruk berbanding kemelesetan” kerana ekonomi secara keseluruhannya telah terhenti.
Walaupun ada segelintir peruncit yang mengubah perniagaan mereka kepada dalam talian untuk mengelakkan penutupan, Chua berkata ia masih sukar untuk bertahan.
“Bertukar kepada dalam talian memberi kesan (bagi segelintir peniaga).
“Tidak seperti kemelesetan yang mana sesetengah eksport masih mampu bertahan, kini semuanya terhenti.
“Ia masih tak bergerak.
Kerajaan hanya membenarkan perkhidmatan penting – pasar raya, pasar mini, kedai runcit, premis makanan – beroperasi di bawah waktu yang terhad, bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam di semenanjung dan 7 pagi hingga 7 malan di Sarawak.
Chua mencadangkan rangkaian premis runcit dibenarkan beroperasi selagi mereka mematuhi semua langkah kesihatan dan keselamatan seperti penjarakan sosial, penjagaan kebersihan serta pemeriksaan suhu badan. Katanya ini sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor lain yang dibenarkan beroperasi di bawah PKP.
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan koronavirus yang setakat ini menjangkiti 5,532 orang dan meragut 93 nyawa. Negara kini dalam fasa ketiga PKP yang akan berakhir pada 28 April.
“Kami mohon kerajaan membenarkan kami membuka perniagaan awal dengan melaksanakan SOP ini. Setakat ini, kami belum menerima maklum balas daripada kerajaan.”
Bagi permulaan, kerajaan perlu membenarkan rangkaian restoran menerima pelanggan dan mengamalkan penjarakan sosial, dengan mengehadkan jumlah pelanggan dan pekerja serta pelanggan mengenakan penutup mulut dan hidung, cadang Chua.
“Sekiranya mereka tidak mematuhinya, maka tutup sahaja premis mereka.”
MRCA turut mencadangkan program subsidi upah kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi Covid-19 diperluas kepada 500 pekerja berbanding 200.
Kebanyakan rangkaian peruncitan mempunyai lebih 500 pekerja dan yang besar mempunyai sehingga 2,000 pekerja.
Ini akan membantu syarikat yang mempunyai kira-kira 1,000 kakitangan untuk mengatasi bayaran gaji sekurang-kurangnya separuh pekerja mereka.
Chua memuji keputusan kerajaan negeri Selangor yang membenarkan segelintir perniagaan dibuka sekurang-kurangnya dua hari seminggu.
Menurutnya, sekurang-kurangnya keputusan itu membolehkan peruncit menjana sedikit pendapatan untuk memenuhi perbelanjaan bulanan mereka.
Kumpulan peruncit lain, Persatuan Peruncit Malaysia, baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan mengisytiharkan pandemik Covid-19 sebagai Force Majeure, klausa undang-undang mengenai keadaan yang tidak dapat diramalkan yang menghalang pemenuhan kontrak.
Selain itu, pihaknya turut mencadangkan undang-undang agar peniagaan mendapat bantuan sementara jika mereka tidak dapat memenuhi kewajiban kontrak.
Kerajaan juga harus memastikan semua orang bekerja untuk mencegah pengangguran besar-besaran, kata Lim Kim Heng, Pengarah Urusan Senheng Electric (KL) Sdn Bhd.
Walaupun syarikatnya berjaya bertahan dengan beralih ke peruncitan dan membeli-belah dalam talian, beliau khuatir perkara ini akan terjejas sekiranya kadar pengangguran meningkat.
Dengan perniagaan yang tidak dapat beroperasi dan berkemungkinan ditutup, beliau juga mengatakan pengangguran akan mempengaruhi perniagaan dalam talian.
“Sekiranya kadar pengangguran naik, jualan juga akan terganggu.”
“Tetapi jika pemerintah dapat membantu dan memastikan semua orang bekerja, maka kita akan jadi lebih baik.” – 23 April, 2020.