Iklan

60% eksport tergendala kerana PKP, kata pengilang 

Bernard Saw5 years ago23rd Apr 2020Berita
Gallery cameron highlands tea plantation 20190123 tmihasnoor 033
Pengilang kini berdepan masalah kekurangan bahan mentah, isu produk separuh siap, dan pergerakan terhad pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2020.
Iklan

LEBIH separuh daripada eksport Malaysia tidak dapat dilakukan mengikut jadual kerana tidak tersenarai sebagai perkhidmatan penting dan diarahkan tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19, kata pengilang.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai memberitahu The Malaysian Insight sektor eksport akan mengambil masa lebih setahun untuk pulih semula.

“Sektor eksport terjejas teruk, dianggarkan sekitar 60% eksport tidak dapat dilakukan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP),” kata Soh.

“Situasi sekarang sangat tidak menentu. Tempahan eksport bergantung kepada permintaan antarabangsa namun ia juga terjejas teruk.

“Kita mungkin perlukan lebih setahun untuk sektor eksport Malaysia pulih,” tambahnya.

Menurut pemain industri, sektor paling teruk terjejas kerana PKP termasuk elektronik domestik, pengangkutan, jentera dan peralatan, minyak dan gas, produk kimia dan industri berasaskan sawit.

Soh berkata, walaupun banyak perkhidmatan terjejas disenaraikan sebagai “penting” dan sekatan dilonggarkan pada fasa kedua PKP, mereka hanya dibenarkan beroperasi dengan 50% tenaga kerja dan impak ke atas perniagaan adalah besar.

“Bahkan, bukan semua rantaian bekalan dibenarkan untuk diteruskan, jadi pengeluaran tidak boleh dimaksimumkan ketika PKP,” katanya.

Walaupun Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, rantaian bekalan berkaitan perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi, satu pertiga daripada permohonan ditolak oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala satu pertiga lagi masih diproses.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali juga sebelum ini berkata, hanya kira-kira 45% ekonomi masih berjalan ketika fasa pertama dan kedua PKP.

Soh berkata pengilang kini berdepan masalah kekurangan bahan mentah, isu produk separuh siap, dan pergerakan terhad pengguna.

“Kedua-dua bekalan dan permintaan kini menjadi isu,” katanya.

Soh berkata, pengilang memerlukan pendaatan dan wang untuk memastikan perniagaan mereka berjalan lancar, dan lebih baik sekiranya kerajaan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi menyambung operasi.

Bagaimanapun katanya, kesan eksport terhadap PKS secara relatifnya lebih kecil berbanding sektor perkilangan. – 23 April, 2020.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan