PKS perlu lebih banyak bantuan, kata ahli ekonomi
Iklan
PUTRAJAYA perlu memberi lebih banyak bantuan untuk peniaga dalam industri kecil dan sederhana supaya mereka dapat kembali bangkit dan keluar dari kemelut ekonomi negara ekoran pandemik Covid-19, kata ahli ekonomi.
Mereka berkata kerajaan harus memberikan lebih banyak bantuan kewangan dan memperkenalkan dasar khusus supaya mereka dapat menangani kemelesetan akibat pandemik tersebut.
Tambah mereka, kerajaan juga harus melakukan pemotongan faedah agar usahawan tertarik untuk membuat pinjaman bank.
Profesor madya di Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin Yoong berkata beliau yakin Bank Negara akan mengumumkan penurunan kadar faedah lanjut pada Mei.
Bank Negara mengurangkan kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini – pada Januari dan Mac – menjadikan kadar dasar semalaman (OPR) berkurang 25 mata, daripada 3% kepada 2.5% ketika ini.
“Cabaran kepada kerajaan pasca PKP adalah untuk menangani kemelesetan ekonomi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Wong berkata keputusan kerajaan untuk membiarkan dasar cukai tidak disentuh ketika ia mengimbangi kadar faedah adalah satu tindakan yang tepat.
“Ini tindakan yang tepat kerana masalah pemotongan cukai ini tidak seharusnya dipertimbangkan pada masa ini.”
Adli Amirullah, pakar ekonomi di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata mereka yang berada di strata B40 dalam masyarakat dan individu bekerja sendiri lebih memerlukan pertolongan.
“Rancangan rangsangan ekonomi sebelum ini ok, namun lebih banyak bantuan harus diberikan kepada individu yang bekerja sendiri daripada kumpulan B40 yang tidak ada perniagaan formal dan hanya menjual nasi lemak.
“Mereka belum mendaftarkan perniagaan secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Mereka mungkin tidak menikmati pelepasan cukai dan akan menghadapi kesulitan ketika memohon pinjaman perniagaan.”
Beliau berkata tanpa bantuan, mereka hanya dapat memperoleh hanya beberapa ratus ringgit sebulan untuk perbelanjaan seisi keluarga.
Adli berkata Putrajaya mungkin mempunyai dasar khusus untuk membantu orang yang bekerja sendiri, termasuk mereka yang hanya memiliki perniagaan mikro.
“Dasar seperti itu dapat bantu mereka.”
Tinjauan Biro Perangkaan Nasional antara 18 dan 31 Mac juga mendapati 81.9% individu bekerja sendiri dibiarkan ketika PKP dilanjutkan untuk kali pertama.
Lanjutan PKP fasa pertama dari 1 hingga 14 April. kini ia dilanjutkan sekali lagi sehingga 12 Mei depan.
Tinjauan itu juga mendapati 71.4% simpanan individu bekerja sendiri hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan kurang sebulan.
Adli berkata walaupun kerajaan memberikan bantuan yang cukup daripada segi kewangan, namun kerajaan belum menyentuh soal transformasi PKS.
Beliau berkata sejak wabak itu meletus, pemerintah belum mengemukakan dasar untuk membantu PKS dalam soal memperkuat model perniagaan mereka, sebagai reaksi terhadap apa yang disebut dengan “kebiasaan baharu” (new normal) dalam perniagaan.
“Beberapa negara sebenarnya mempunyai program dalam tempoh PKP bagi membantu PKS untuk berhijrah kepada perniagaan dalam talian.
“Saya harap kerajaan akan ada dasar mengenai hal ini sehingga PKS dapat memutuskan model perniagaan baharu yang paling sesuai dengan mereka dalam suasana baharu setelah PKP tamat.”
Mengulas mengenai kebiasaan baharu dan model perniagaan baharu, Wong berkata beliau yakin PKS tidak kelam-kabut seperti awal PKP dilaksanakan.
Katanya, walaupun setelah kerajaan menamatkan PKP, perniagaan tidak akan kembali seperti dulu dalam waktu singkat.
Oleh itu, walaupun kerajaan melanjutkan sekatan selama 14 hari lagi, ia tidak akan memberi kesan besar kepada mereka yang telah menyesuaikan diri dengan operasi baharu itu, tambahnya.
Semalam, 100 pesakit pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang, angka yang hampir tiga kali ganda daripada 38 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Pada sidang akhbar harian mengenai krisis tersebut, Dr Noor Hisham berkata tidak ada kematian yang dilaporkan akibat Covid-19 dalam jangka waktu tersebut, dengan jumlah kematian terkumpul kekal 98 kes.
Dr Noor Hisham berkata 3,862 orang pulih daripada virus itu, sementara jumlah kes terkumpul setakat ini 5,780. – 27 April, 2020.