Iklan

Polis beri amaran, sel Daesh bukan lagi bersendirian di Malaysia

Radzi Razak7 years ago22nd Nov 2017Berita
Ayob khan counter terrorism tmikamal 01
Ketua Unit Anti Keganasan di Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ideologi kumpulan pengganas ini masih tersebar walaupun pangkalan mereka di Raqqa dan Mosul telah hilang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2017.
Iklan

POLIS mengesan sel pengganas Daesh yang kini mula beroperasi sebagai sebuah kumpulan, dan bukan lagi individu, menyokong kempen gerakan radikal pelampau di Asia Barat itu.

Ketua Unit Anti Keganasan di Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kumpulan pertama yang dibongkar di negara ini ialah mereka yang mahu mengebom “Better Beer Festival” Oktober lalu.

Sel pengganas biasanya dianggotai kumpulan tiga sehingga sepuluh orang yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan pusat pengganas.

“Kita lihat walaupun Daesh telah hilang pangkalan di Raqqa dan Mosul, tapi ideologinya masih tersebar meluas.

“Kes tangkapan kita pada Oktober (melibatkan) pelajar STPM yang tak pernah ke mana-mana, tak pernah ke Syria tapi terpengaruh apabila dia pergi ke website, Facebook Daesh dan belajar buat bom.

“Ini yang kita bimbang, ini yang baru, kalau dulu lone wolf (bersendirian) tapi sekarang wolf pack (berkumpulan) tak lebih sepuluh ahli, tiada kaitan dengan sel dan kumpulan lain,” kata beliau pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, polis masih cuba mengesan sel yang mungkin mula berkembaang terutamanya selepas lebih ramai anggota IS mahu melakukan aktiviti di tempat sendiri terutamanya selepas pasukan bersekutu mula menghalau Daesh dari Iraq dan Syria.

“Sebelum ini mereka mungkin pergi ke Syria, sekarang bila dah tiada pangkalan, mereka merancang di tempat sendiri,” kata beliau.

10 Oktober lalu seorang remaja berusia 19 tahun yang bakal menduduki STPM ditangkap bersama dua rakannya, anggota tentera dan kontraktor kerana merancang untuk meletupkan “Better Beer Festival” di Kuala Lumpur, tempat ibadat bukan Islam dan KLCC serta premis yang menjual minuman keras secara terbuka.

Mereka ditangkap di Pasir Puteh, Kelantan ketika menguji dua alat peledak yang sudah diubah suai (IED).

Satu daripadanya berjaya meletup manakala satu lagi gagal berfungsi.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata IED itu boleh membunuh mereka yang berada dalam lingkungan radius 20 meter hingga 30 meter.

Ayob berkata polis masih melakukan tangkapan dan siasatan walaupun dikritik hebat oleh beberapa ahli politik pembangkang berikutan keputusan polis menghalang festival itu berlangsung.

Beliau turut menyindir segelintir pemimpin pembangkang yang hanya berdiam diri selepas mengkritik polis dan Ketua Polis Negara (KPN) kerana membatalkan festival tersebut.

“Walaupun ada kritikan dari pihak pembangkang. Kami menunggu hingga saat akhir untuk membuat tangkapan.

“Malangnya yang buat saya marah, pemimpin pembangkang senyap saja lepas tu. Tak minta maaf kepada KPN pun.” – 22 November, 2017.

Iklan
Iklan