20 ditangkap beri wang kepada Daesh sejak tahun lalu
Iklan
POLIS menahan 20 individu di Malaysia kerana disyaki menyalurkan dana dari negara ini kepada gerakan militan Daesh di Syria dan Filipina sejak tahun lalu.
Ketua Unit Anti Keganasan di Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan, berumur dalam lingkungan 20 hingga 40-an.
Ayob berkata, mereka yang ditahan termasuk guru, ahli perniagaan, anggota polis dan tentera.
“Mereka kumpul duit dan salurkan melalui Western Union ataupun mesin ATM. Jumlah mereka masukkan tak banyak. Ada yang masuk RM100 sahaja,” katanya pada sidang media selepas sesi Sidang Kemuncak Anti Pembiayaan Keganasan di Kuala Lumpur.
Ayob berkata kesemua mereka kini telah sama ada dihukum mahkamah atau ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota) atau Akta Pencegahan Jenayah (Poca).
Beliau bagaimanapun mengaku amat sukar untuk mengesan kegiatan ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat mengirimkan wang dalam jumlah kecil.
“Ada dua perkara penting, kita kena dapat bantuan daripada Bank Negara dan good intelligence (risikan yang baik), jika tidak kita susah nak kesan dan pantau mereka.
“Kalau kita ada intelligence (melibatkan jumlah wang) juta, boleh minta Bank Negara pantau nombor akaun suspek untuk kumpul bukti,” katanya.
Ayob turut berkata kerjasama yang lebih berkesan antara pihak polis, Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi kewangan dari dalam dan luar negara amat penting bagi membanteras kegiatan ini.
Pada sesi pagi persidangan, BNM mendedahkan 346 transaksi mencurigakan (STR) berkaitan pembiayaan keganasan dikesan antara Januari hingga Jun tahun ini.
Daripada jumlah itu, 34 didedahkan untuk tindakan lanjut agensi penguat kuasa seperti polis.
Jumlah ini merupakan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding hanya 93 STR dengan 14 pendedahan sepanjang 2015. – 22 November, 2017.