Iklan

Ketua IS warga Malaysia di Filipina mungkin masih hidup

Radzi Razak7 years ago22nd Nov 2017Berita
Mahmud ahmad is file photo  full
Mahmud Ahmad yang merupakan bekas pensyarah Universiti Malaya, dikatakan terbunuh dalam pertempuran di Marawi bulan lepas. Setakat ini polis masih belum mendapat laporan mengenai mayat Mahmud. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2017.
Iklan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima berita rasmi kematian dua rakyat negara ini, Mahmud Ahmad dan Amin Baco, yang dilaporkan menjadi ketua militan IS di Filipina, dalam ketegangan di Marawi, di selatan republik itu.

Ketua Unit Anti Keganasan di Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini polis masih belum mendapat laporan mengenai mayat Mahmud, bekas pensyarah Universiti Malaya, yang dikatakan terbunuh dalam pertempuran bulan lepas.

Menurut Ayob, pihaknya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa di Manila untuk membuat pengecaman jenazah.

“Kita sudah dapatkan sampel DNA keluarga dia, kalau dah dapat tubuh badan dia, kita akan padankan.

“Kalau tak silap, mereka (Filipina) belum jumpa tubuh badan Mahmud,” kata Ayob kepada wartawan di Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte 19 Oktober lalu mengeluarkan kenyataan Mahmud, yang diberi gelaran “Doktor” oleh kumpulan Militan Maute terbunuh dalam pertempuran di Marawi.

Tentera Filipina menggambarkan Mahmud sebagai “sasaran amat bernilai” yang membiayai serangan militan pro-IS di bandar selatan Marawi Mei lalu dan jadi perantara pemberontak tempatan dengan militan di Asia Barat.

Duterte berkata Mahmud merupakan pemimpin militan terbaharu terbunuh dalam pertempuran hampir lima bulan di Marawi selepas kematian Isnilon Hapilon, ketua IS di Asia Tenggara dan sekutunya, Omarkhayam Maute seminggu sebelum itu.

Sementara itu, Amin Baco yang berasal dari Tawau dan menggantikan Mahmud untuk mengetuai kumpulan Darul Islam, dilaporkan terbunuh awal bulan ini.

Agensi berita Bernama pada 7 November memetik sumber tentera Filipina berkata Amin Baco, 31, terbunuh dalam pertempuran ketika cuba keluar dari Marawi.

Dia adalah juga menantu kepada Isnilon.

Marawi jadi medan pertempuran sejak lima bulan lalu selepas berjaya dikuasai oleh kumpulan Maute yang ketika itu diketuai Isnilon.

“Amin Baco dilaporkan terbunuh tetapi kami masih belum menerima kepastian.

“Dia terlibat dalam aktiviti militan sejak 2001 di kawasan seperti Ambon dalam konflik antara Kristian dan Islam. Semasa kami buat operasi untuk tangkap dia di Tawau pada 2006, dia melepaskan diri ke selatan Filipina.

“Dia pernah kembali ke Sabah pada 2012 di Lahad Datu untuk melakukan satu penculikan.

“Dia ada dua isteri, satu di Sebatik, Tawau dan satu lagi anak Isnilon. Anaknya kami kesan masih hidup di Basilan,” kata Ayob.

Ratusan orang awam terbunuh dalam konflik di Marawi manakala ribuan menjadi pelarian terutamanya selepas tentera Filipina melancarkan serangan balas dan berjaya merampas semula bandar di selatan Mindanao itu, sejak Oktober. – 22 November, 2017.

Iklan
Iklan