Iklan

Ramai tak mampu beli rumah PR1MA lebih RM250,000

Melati A. JalilNoel Achariam7 years ago23rd Nov 2017Berita
Ppr kampung limau kerinchi 20170816 hasnoor 011
Rumah PR1MA berharga lebih RM250,000 adalah di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia, kata pakar hartanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.
Iklan

PROGRAM Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sepatutnya kekal dengan objektifnya iaitu menyediakan rumah mampu milik bagi mereka yang berpendapatan rendah dan pertengahan, bukannya jadi penyedia hartanah mewah, kata pakar hartanah Ernest Cheong.

Walaupun harga rumah PR1MA antara RM100,000 dan RM400,000, unit yang berharga lebih RM250,000 adalah di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia, kata juruukur hartanah bertauliah itu.

“Mereka perlu terima hakikat yang gaji orang ramai tidak naik. Mereka yang mampu untuk beli apa saja pada zaman ini berpendapatan RM10,000 dan ke atas.

“Selepas semua perbelanjaan, mereka mungkin boleh simpan RM1,000 dan dengan itu membolehkan mereka dapat pinjaman RM200,000.

“Realitinya ialah mereka tidak mampu membeli hartanah melebihi harga RM250,000,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Isu itu timbul baru-baru ini di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar mendakwa Perbadanan PR1MA Malaysia, agensi kerajaan yang bertanggungjawab membina rumah mampu milik, menjual rumah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berkata dakwaan itu tidak tepat kerana PR1MA turut membina rumah lebih murah untuk rakyat.

“Saya tidak bersetuju kerana kita meluluskan lebih 70,000 unit untuk dibina dan dijual pada harga antara RM188,000 hingga RM300,000. Kita ada program itu seperti di Desa Pandan yang dibangunkan semula dan dijual pada RM42,000,” kata menteri itu.

Tinjauan di laman web PR1MA menunjukkan 31 projek di bawah “unit terhad dibuka semula” dan 18 projek lain dalam kategori “dibuka untuk permohonan”.

Di bawah “unit terhad dibuka semula” terdapat 15 projek yang menawarkan rumah berharga antara RM100,000 dan RM200,000, sembilan projek berharga antara RM201,000 dan RM250,000 serta tujuh projek (RM251,000 dan RM300,000).

Bagi kategori “dibuka untuk permohonan”, hanya projek Changlun menawarkan harga bermula dari RM187,000 di Kedah sementara enam projek di tempat lain menawarkan harga antara RM201,000 dan RM250,000 sementara enam lagi projek menawarkan harga rumah antara RM251,000 dan RM300,000.

Harga rumah untuk lima lagi projek belum diumumkan.

The Malaysian Insight menulis kepada PR1MA untuk mendapatkan jumlah rumah yang dibina dan pilihan harga berbeza.

PR1MA bercadang membina lebih banyak unit tahun depan dan sudah memperoleh kebenaran untuk membina 259,881 rumah. Setakat ini, ia menyiapkan 10,199 unit di seluruh negara dan menyasarkan membina 17,000 lagi sebelum akhir tahun.

Bajet 2018 memperuntukkan RM2.2 bilion untuk perumahan, dan ia termasuk RM1.5 bilion untuk perumahan PR1MA bagi membina 210,000 unit berharga RM250,000 ke bawah bagi setiap unit, dalam tempoh dua tahun.

Bajet itu juga akan digunakan untuk 17,300 unit di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

Sehingga 15 November, sejumlah 12,640 rumah PR1MA dengan nilai pembangunan kasar RM3.16 bilion dibeli.

Ia mewakili lebih 50% daripada 25,132 unit rumah PR1MA yang dibuka untuk jualan pada masa ini, kata PR1MA.

Menggunakan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun lalu di mana 89% populasi bekerja memperoleh kurang RM5,000, Cheong berkata kebanyakan perbelanjaan kehidupan rakyat hanya cukup-cukup saja dan tidak ada lebihan untuk membeli hartanah.

“Mereka yang berpendapatan RM5,000 dua tahun lalu dapat menyimpan RM1,000 tetapi hari ini mereka hanya boleh simpan beberapa ratus ringgit saja,” katanya, menambah masalah harga dan pendapatan tidak padan, tidak berlaku sekelip mata kerana ekonomi tidak berkembang sejak 10 tahun lalu.

“Bila bank lihat gaji anda RM5,000, mereka tahu anda terhimpit jika keluarga besar. Jadi, bagaimana bank hendak beri pinjaman?

“Rumah berharga RM250,000 adalah maksimum bagi kemampuan 95% rakyat Malaysia,” katanya.

Pinjaman bersama

Siti Mat Isa, 32, berkata dia hanya mampu membeli rumah pertamanya, sebuah unit pangsapuri servis pada harga RM290,000 berkeluasan 800 kaki persegi di Setia Alam, Shah Alam selepas bekerja lapan tahun.

“Saya ada sedikit simpanan ketika mula bekerja tetapi saya disiplinkan diri simpan RM500 setiap bulan sejak 2013.

“Tetapi sebahagian simpanan itu digunakan ketika saya berkahwin pada 2015. Jadi kami terpaksa bergantung pada Akaun 2 KWSP dan baki simpanan saya gunakan untuk bayar deposit 10%,” katanya.

Katanya, mereka mengambil masa enam bulan mencari rumah dalam kemampuan mereka, kerana rumah di atas harga RM300,000 di luar kemampuan mereka.

Gabungan pendapatan isi rumah mereka sekitar RM6,000 sebulan.

“Lokasi rumah saya agak okay, hanya 22km dari pejabat kami di Shah Alam.

“Tetapi apa yang lebih penting ialah kami beli ikut kemampuan. Sekarang kami hanya bayar RM1,300 sebulan, bukan RM1,800 jika beli rumah atas RM300,000.

“Kami tidak akan ada simpanan jika bayar RM2,000 bulanan kepada bank,” katanya.

Ketika Siti mula bekerja pada 2009, dia memperoleh RM1,500 tetapi kini gajinya RM3,500.

“Bank beritahu kami layak dapat pinjaman jika nama digabungkan. Jika guna gaji saya seorang, saya masih boleh beli rumah RM290,000 tetapi tidak boleh ada komitmen lain, dan itu sangat mustahil.

“Kami tidak cerewet, sama ada ia rumah tanah atau pangsapuri, asalkan ia di bawah RM300,000.”

Katanya, dia ada mendaftar dengan PR1MA tetapi lokasi rumah PR1MA dan harganya tidak realistik terutama bagi mereka yang bekerja di bandar.

“Lebih pula kebanyakan pangsapuri PR1MA berkepadatan tinggi, saya tidak suka. Pangsapuri saya sekarang hanya 11 tingkat.”

Harga dan pendapatan tidak padan

Skim Pembiayaan Akhir Khas PR1MA (SPEF) diperkenalkan pada Januari untuk pembeli dapat akses kepada jumlah pinjaman lebih tinggi dan setakat ini, hanya 50 permohonan diluluskan. Sejumlah 197 permohonan dibuat untuk pinjaman RM44.1 juta.

Setiausaha agung kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong berkata sebab utama rakyat tidak mampu membeli rumah itu ialah kerana ketidakpadanan antara harga pelancaran baharu dengan apa yang rakyat Malaysia mampu.

Katanya, berdasarkan laporan terbaru Bank Negara Malaysia (BNM), untuk 2016 hingga suku pertama 2017, hanya 21% rumah yang baru dilancarkan berharga bawah RM250,000.

“HBA sebelum ini mengklasifikasikan hartanah mampu milik berharga antara RM150,000 dan RM300,000 tetapi REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) anggap hartanah mampu milik sehingga RM500,000,” katanya.

Pemantau Perumahan Bank Negara menganggarkan 57.6% isi rumah di Malaysia berpendapatan RM5,999 sebulan hanya mampu membeli rumah berharga RM354,111.

Sebuah keluarga dengan pendapatan RM1,999 atau kurang mampu membeli rumah antara RM112,200 dan RM124,700.

Chang berkata menurut laporan BNM itu, isu terbesar ialah harga rumah naik terlalu cepat dalam tempoh beberapa tahun ini. – 23 November, 2017.

Iklan
Iklan