Iklan

Menteri akui rumah RM250,000 ke atas banyak tidak terjual

Yasmin Ramlan7 years ago23rd Nov 2017Berita
Felda chini 20171117 tmihasnoor 007
Tindakan pemaju yang hanya menumpukan kepada pembinaan rumah mewah menyebabkan ia banyak tidak terjual.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.
Iklan

MENTERI Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar hari ini mengakui rumah berharga RM250,000 ke atas banyak tidak terjual sambil menyalahkan pemaju yang terlalu mengejar untuk membina rumah berharga mahal.

Noh menegaskan pemaju perlu memberi sokongan kepada kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

Beliau berkata setakat ini kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.7 bilion untuk memastikan rumah mampu milik dapat dibina.

“Jadi memang kalau kajian dibuat rumah RM250,000 ke bawah mudah dijual. Tetapi yang banyak tak terjual rumah RM250,000 ke atas, rumah apartmen tak terjual. Kalau pemaju-pemaju rasa nak kejar buat rumah mahal dan mewah (sukar jual).

“Sedangkan kerajaan berbelanja RM2.7 bilion untuk memastikan penjualan rumah mampu milik dilaksanakan. Pemaju kena bantu. Kerajaan pun sediakan perumahan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada Selasa lalu berhubung aduan yang diterima dan pemerhatiannya mendapati rakyat hampir mustahil memiliki rumah di Wilayah Persekutuan, dan “cuma mungkin mampu tengok”.

Bung menambah program rumah mampu milik kerajaan Persekutuan, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga didakwa tersasar daripada matlamat asal.

Bung meminta Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan apakah langkah diambil kerajaan untuk membantu rakyat memiliki rumah.

Bagaimanapun, Tengku Adnan yang lebih dikenal sebagai Ku Nan tidak bersetuju dengan aduan dan pemerhatian Bung itu. Beliau berkata tuduhan wakil rakyat Sabah itu terhadap PR1MA tidak adil.

Noh bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan Bung berhubung rumah mampu milik seperti PR1MA lari daripada matlamat asal.

“Kita ada jumlah kita. PR1MA bukan bawah saya. Pergi tanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim. Projek Perumahan Rakyat (PPR) saya jawab,” katanya. – 23 November, 2017.

Iklan
Iklan