Biennale KL 2017: Polis akan soal kurator, artis dan media
Iklan
POLIS akan menghubungi kurator, artis dan media mengenai insiden penarikan diri artis dan karya seni daripada pameran seni Biennale Kuala Lumpur (KLB2017) atas dakwaan ada campur tangan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata polis akan menyoal semua pihak terlibat sebelum membuka kertas siasatan, sekiranya perlu.
“Kami akan memanggil Balai Seni Negara, artis-artis, mereka yang terlibat serta media yang melaporkan insiden itu,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight pada Rabu melaporkan kumpulan artis dari Malaysia dan Indonesia yang bergabung atas nama Pusat Sekitar Seni dan Population Project menarik diri dari KLB 2017 atas alasan pencabulan hak artis berkarya.
“Selepas mengumpulkan maklumat, baru kita akan teruskan buka kertas siasatan.
“Kita mendapat maklumat daripada Balai Seni Negara (setakat ini) yang mereka diberitahu oleh beberapa orang, terdapat karya tidak sesuai yang dipamerkan untuk pameran itu,” tambahnya.
Gabungan lima artis dari Malaysia dan dua artis Indonesia itu menarik penyertaan karya instalasi berjudul “Under Construction”, sehari sebelum perasmian pameran semalam, selepas tidak diberi kebenaran oleh pihak pengurusan KLB2017 untuk menyiapkan karya tersebut, sejak Sabtu.
Menurut jurucakap Pusat Sekitar Seni (PSS), Aisyah Baharuddin, mereka dimaklumkan oleh kurator pameran karya itu “di bawah siasatan/pemerhatian polis Bukit Aman atas alasan berbaur komunisme”, susulan ada aduan mengenainya.
Pameran selama lima bulan sehingga Mac 2018 itu dibuka secara rasmi oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz semalam.
Roy turut mengesahkan Balai Seni Negara (BSN) telah membuat laporan polis selepas media melaporkan insiden berkenaan, namun menegaskan polis masih tidak membuat sebarang arahan atau mengambil sebarang karya seni yang dipamerkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim semalam menafikan polis merampas sebahagian karya terlibat sebaliknya hanya menasihati kurator pameran bahawa beberapa bahan yang dipamerkan “tidak sesuai”.
“Kurator yang turunkan karya berkenaan dan beri semula kepada artis,” katanya, seperti dipetik The Star Online.
Sumber yang maklum tentang penganjuran KLB2017 memberitahu The Malaysian Insight, karya “Under Construction” itu dipertikaikan oleh pegawai sebuah kementerian yang datang memeriksa persiapan pameran tersebut.
Sementara itu, tiga pegawai polis hari ini datang ke pameran itu melihat karya-karya yang dipamerkan, dipandu seorang kakitangan balai seni.
Mereka juga tidak dilihat mengambil sebarang tindakan atau menyita mana-mana karya.
Jurucakap BSN yang bertugas turut enggan memberi sebarang komen terhadap kehadiran polis hari ini.
“Kita masih tunggu siasatan polis,” katanya ringkas.
Tiga pegawai polis itu berada balai seni selama kira-kira sejam dan pulang lebih kurang jam 11.45 pagi.
Tinjauan The Malaysian Insight hari ini mendapati instalasi “Under Construction” masih ada di galeri berkenaan dan masih juga bertutup dengan kanvas jaring hitam.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara Mohamed Najib Ahmad Dawa semalam menafikan ada sekatan kebebasan untuk artis berkarya dalam KLB 2017.
Beliau juga menegaskan balai seni tidak membuat sebarang tapisan ke atas karya yang dipilih untuk menyertai pameran tersebut.
PSS memberitahu The Malaysian Insight semalam mereka menunggu jawapan bertulis secara rasmi daripada pihak pengurusan KLB2017 mengenai apa yang berlaku sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
Aisyah berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis mengenai kedudukan karya tersebut dan mendakwa pihak penganjur tidak membantu mereka dalam kemelut ini. – 24 November, 2017.