Iklan

Universiti arah poster ‘Mengenali Kristologi’ ditarik semula

Yasmin Ramlan7 years ago24th Nov 2017Berita
Irene handono
Penceramah agama Indonesia, Irene Handano dijemput membimbing peserta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 9 dan 10 Disember ini dalam program 'Mengenali Kristologi'. Penganjur mengambil keputusan mengeluarkan perkataan 'mantan rahib' di dalam poster mereka berikutan pelbagai kritikan yang diterima dari orang ramai. – Gambar Twitter, 24 November, 2017.
Iklan

KOLEJ Universiti Islam Selangor (Kuis) mengarahkan penganjur program “Mengenali Kristologi” menarik semula hebahan poster kerana tidak memohon permit daripada pihak berkuasa, kata Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kelulusan dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk program tersebut.

“Sehingga petang semalam, tiada permohonan program bersama dari pihak penganjur dengan Kuis.

“Dan secara prosedur perlu mendapat kelulusan juga dari Mais. Saya dimaklumkan Kuis telah memohon penganjur turunkan banner,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai penganjur dari badan bukan kerajaan (NGO) itu, Nur Fitrah yang menjemput penceramah Indonesia, Irene Handono yang didakwa rahib palsu.

Sementara itu, Rektor Kuis, Prof Dr Abdul Halim Tamuri berkata pihak universiti tersebut tidak terlibat sebagai penganjur dan hanya menyewakan tempat untuk program tersebut.

Sekiranya, penganjur gagal mendapatkan kelulusan, program berkenaan tidak boleh diteruskan.

“Kuis bukan penganjur. NGO tersebut menyewa tempat. NGO perlu dapatkan kelulusan. Jika tidak ada kelulusan tidak dibenarkan (menjalankan program),” kata Dr Halim kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, pihak Kuis juga masih sedang mengenalpasti sama ada program tersebut mendapat kelulusan.

Sementara itu, jurucakap Mais, kelulusan tidak tertakluk di bawah kuasanya, sebaliknya ia bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Hari ini, Nur Fitrah dalam satu kenyataannya di Facebook berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengeluarkan perkataan “mantan rahib” di dalam poster mereka.

Menurutnya, ia dilakukan berikutan pelbagai kritikan yang diterima dari orang ramai. – 24 November, 2017.

Iklan
Iklan