Iklan

9 Mei sebagai ‘kemerdekaan kedua’

Hasmi Hashim4 years ago9th May 2020Suara
Pakatan harapan supporters 100518 tmiseth 02
Penyokong Pakatan Harapan meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.
Iklan

9 Mei bukan 31 Ogos.

Agak keterlaluan untuk menyamakan tarikh kemerdekaan negara dengan tarikh pertukaran kerajaan buat pertama kali selepas 61 tahun merdeka.

Sambutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 masih segar dalam ingatan ramai. Masih baru. Sudah tentulah kemeriahannya berbeza dengan detik-detik menyambut kemerdekaan pada 1957.

Saksi mata kala merdeka, ramai yang sudah tiada. Generasi hari ini hanya melihatnya melalui rakaman yang wujud, atau mendengar cerita orang tua-tua yang masih hidup.

Barisan Nasional (BN) yang sangat kuat, yang memegang segala bentuk sumber dan aparat, termasuk agensi propaganda serta polis, akhirnya tumbang. Dalam BN ada Umno, parti yang sangat kuat dan berpengaruh dalam kalangan orang Melayu, sekali gus hilang kuasa di peringkat Persekutuan – walau Umno masih berbaki jumlah kerusi parlimen yang diperhitungkan tetap besar dalam Parlimen.

Kata orang, kemenangan PH antaranya disebabkan pembangkang dapat disatukan. Sebenarnya pandangan berkenaan tidak begitu tepat – kalau ada pun ialah dapat disatukan dengan memakai bendera Keadilan.

Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri selepas berlaku Langkah Sheraton yang menyebabkan Pakatan Harapan tumbang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

Dendam PAS

Di luar PH, PAS juga sebuah parti pembangkang. PAS mempunyai dendam tersendiri – dendam kepada PH, kepada Anwar Ibrahim, dan tidak kurang juga dendam kepada Dr Mahathir Muhamad sebagai calon Perdana Menteri ke-7 tempohari.

Usaha untuk membawa masuk PAS ke dalam PH memang ada. Tapi gagal.

PAS merasakan mereka tidak perlukan PH. Dalam waktu sama, PAS tidak mahu hilang sokongan akar umbinya yang berpuluh tahun bermusuh dengan Umno.

Cara PAS menghadapi PRU lalu, mudah. Kekal bertanding sendirian untuk pecahkan undi pembangkang. Dengan pecahkan undi PH, maka yang untung adalah BN. Begitulah cara PAS ‘bersama’ dan menyokong BN. Khususnya Umno. Mudah.

Cakap-cakap bahawa memang sudah wujud hubungan antara Presiden PAS dengan Presiden Umno bukan rahsia. Kedengaran beberapa tahun sebelum PRU. Begitu juga cara Najib Razak mahu mengekalkan pengaruh BN, yakni, dengan percubaan menarik sokongan PAS.

Rancangan PAS tidak semuanya berjaya. Kerusi parlimen dimenangi PAS tidak begitu banyak. Namun sasaran mengekalkan Kelantan – dan mengambil Terengganu – walaupun bagaimanapun, berjaya. Cukuplah dahulu, sebelum selepas PRU nanti, perlu diatur congak lain untuk khasnya  menyerang PH.

Apabila datang peluang untuk meruntuhkan kerajaan Putrajaya-PH, mestilah PAS tidak lepas peluang. Halal-haram boleh diubah ikut mana yang lebih menguntungkan. Bahkan hubungan beberapa pemimpin PAS dengan dalang “Langkah Sheraton” juga sudah agak lama terjalin.

Ketika menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berbilion ringgit telah disalurkan Azmin Ali kepada PAS. Memang bukan secara langsung ke dalam akaun bank PAS, tetapi melalui peruntukan atau royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu. Disalurkan atas nama “reformasi” dan “keadilan” untuk negeri dan wilayah. Membeli PAS bukanlah susah. Asal ada duit, jalan.

Politik PAS beberapa tahun kebelakangan memang aneh. Ada fulus, semua lulus. Bukanlah sepertimana PAS ketika Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup. Parti itu tidak akan boleh dibeli sesen pun dengan wang ringgit.

Mohamed Azmin Ali ketika memegang jawatan menteri hal ehwal ekonomi menyalurkan berbilion ringgit kepada PAS dalam bentuk peruntukan dan royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

Langkah khianat

Dan Langkah Sheraton pun berlaku. PAS ikut menyokongnya. PH pun tumbang.

Dalam perumpamaan orang kampung macam saya, PAS tidak mahu mencuri; tetapi menyokong pencuri, tidak mengapa. Pengkhianatan sesungguhnya adalah satu bentuk tindakan pencuri. Bukan curi duit, tapi curi kuasa. Istilahnya sahaja berbeza.

Langkah Sheraton itu macam cerita pedagang dulu-dulu di Tanah Arab. Ibarat rombongan peniaga dari Mekah ke Madinah.

Di tengah jalan, rombongan berkenaan disamun. Penyamunnya bukan sahaja lanun dari kumpulan lain, tetapi turut wujud tali barut dalam rombongan itu sendiri yang merancangnya. Si perancang tentu ada masalah peribadi dan mungkin juga cemburu dengan ketua kabilah.

Apa yang dilakukan oleh PAS ialah memberi bantuan dari luar agar rompakan berjaya. Khalas dan tahniah kerana mungkin cara begitu tidak berdosa di sisi agama yang difahami oleh pemimpin PAS.

Sentimen Melayu-Bumiputera

Sepanjang setahun lapan bulan pentadbiran PH, tidak boleh dinafikan wujud kelemahan. Usaha membangunkan semula ekonomi negara yang rosak di zaman BN bukan mudah. Itu semua orang tahu.

Namun yang tidak disedari atau cuba diabaikan oleh PH ialah sentimen majoriti serta tradisi hubungan kaum di negara ini. Khususnya sentimen Melayu-Bumiputera.

Muhyiddin Yassin, Mohamed Azmin Ali dan beberapa ahli Parlimen hadir ke majlis makan malam di Hotel Sheraton, di Petaling Jaya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

Bukankah bodoh namanya apabila perkara seasas Bahasa Kebangsaan pun menjadi persoalan sehingga menjadi isu besar?

Kalau betul sekalipun menteri kewangan, Lim Guan Eng bagus dalam mengurus kewangan, tidak ada keperluan sama sekali untuk beliau menampal tulisan Cina di kiri-kanan pintu pejabat menteri. Sekali lagi, biar sesuci mana pun terjemahan tulisan Cina itu, apalah gunanya?

Melayu adalah Melayu. Tidak kiralah dia menyokong atau berada di dalam PH atau pun BN, sentimen Melayu tidak boleh dicuit dengan provokasi tulisan bukan Bahasa Kebangsaan. Apatah lagi dalam sebuah pejabat kementerian kanan.

Sudahnya, babak kecil berkenaan telah menjadi isu besar. Diambil kesempatan oleh PAS dan Umno– meski wujud segelintir kecil anak Melayu yang cuba mempertahankannya, tapi tidak berkesan. Tidak berguna!

Prinsip dan asasnya adalah mudah, kerajaan PH di bawah lembayung “Malaysia Baharu” sewajarnya kekal dengan sejarah dan tradisi kebangsaan – bukan sama sekali bermaksud untuk menukar teras kenegaraan.

Apa yang ditolak rakyat, termasuk orang Melayu ialah rasuah. Bukannya teras kenegaraan; bukan juga Bahasa Kebangsaan atau hak-hak Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan atau yang telah menjadi amalan biasa selama ini.

Salah faham kepada makna kemenangan 9 Mei menjadikan PH itu sendiri rugi. Menjadikan sentimen Melayu terusik – sedangkan tokoh seperti Dr Mahathir atau Anwar sudah cukup kuat untuk menjadikan PH sebagai payung baharu orang Melayu. Termasuk generasi muda yang ramainya sudah muak dengan politik lapuk Umno, mahu politik menjual agama oleh PAS.

Mungkin atas sebab itu jugalah, justeru penyokong PH tidak boleh marah-marah sangat dengan peristiwa rampasan kuasa 24 Februari lalu.

Rakyat Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

Tidak mustahil

Sekarang rakyat – khususnya orang Melayu – kembali mempunyai sebab-musabab yang kukuh untuk menolak PAS, Umno, BN, Muafakat Nasional (MN), kumpulan pengkhianat, Perikatan Nasional (PN) atau apa sahaja nama mereka.

Kalau Melayu serta rakyat Malaysia pernah menolak BN atau Najib dalam PRU lalu, mereka juga boleh menolak BN, MN, PN, Muhyiddin, Azmin, Hadi dan ‘yang sewaktu dengannya’.

Sekuat mana pun propaganda yang cuba dimainkan selepas rampasan kuasa – sama ada membaca doa di kaca TV, mengutip nama Mak Cik Kiah atau Pak Salleh yang entah benar-benar wujud atau pun tidak, semua itu tidak akan menutup kenyataan bahawa perompakan kuasa tetap perompakan kuasa. Sama macam perompakan wang ringgit yang keji, hina dan jahat.

Sekarang penentunya adalah masa – dengan dua faktor. Pertama, kalau wakil-wakil rakyat lebih ramai mengidam kedudukan, pangkat dan wang ringgit dengan menyokong kerajaan hasil perompakan, mungkin kerajaan ini boleh bertahan sampai PRU akan datang.

Di sana nanti, sekali lagi rakyat akan membuat perhitungan – sama seperti rakyat memperhitung BN pada 2018. Tapi sekali ini, mungkin sekali dan untuk selama-lamanya kerana kita sudah punya pengalaman.

Kepada mereka yang baru mendapat lantikan GLC itu dan ini, fikirlah dalam-dalam. YB masih ada sedikit lagi masa untuk membuat keputusan. Kalau terlambat, kuasa rakyatlah yang akan mengambil tempat.

Kalau kemerdekaan pun bisa diperjuangkan nenek-moyang bangsa kita, apalah sangat untuk menumpaskan sang perompak dan puak pengkhianat.

Mereka telah memilih untuk berwajah hitam di dalam sejarah negara, itu pilihan mereka. – 9 Mei, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

Iklan
Iklan