Iklan

Felda sedia ke mahkamah, pertahan Perjanjian Tanam Semula

Felda tn50 forum 05
Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata pihaknya akan mempertahankan Perjanjian Tanam Semula yang dibuat oleh agensi itu dengan penerokanya dan sedia ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2017.
Iklan

PENGERUSI Felda Shahrir Samad mempertahankan Perjanjian Tanam Semula yang dibuat oleh agensi itu dengan penerokanya dan sedia ke mahkamah untuk mempertahankan kepentingan pelaburannya.

“Saya mempertahankannya. Tidak ada apa yang salah dengan perjanjian itu.

“Saya sedia ke mahkamah untuk mempertahankannya jika ada yang saman,” kata Shahrir, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau berkata kalau dikatakan perjanjian itu berat sebelah, ia adalah kerana Felda yang mengeluarkan duit untuk membuat tanam semula itu.

“Felda kena jaga kepentingannya kerana mereka yang mengeluarkan duit itu,” katanya dalam wawancara itu.

Shahrir mengulas dakwaan peneroka Felda, ahli keluarga, ahli politik dan peguam yang mengatakan perjanjian itu berat sebelah serta menimbulkan masalah kepada peneroka apabila mereka dibebankan dengan hutang yang banyak.

Ketika para peguam dan anak peneroka mahu menyeret Felda ke mahkamah, ahli politik Pakatan Harapan (PH) pula akan membawa isu itu ke 56 kawasan Parlimen yang boleh dipengaruhi oleh undi peneroka Felda.

Antara pemimpin PH yang mendapat sambutan baik dalam kalangan peneroka Felda ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Shahrir berkata sikap Dr Mahathir dalam mengendali isu Felda berbeza dengan kerajaan yang ada.

“Jika dia masih berkuasa, Felda ini mahu diswastakan sebagaimana dia swastakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan lain-lain.

“Namun kita tidak begitu, kita mahu menjalankan tugas yang diamanahkan sebagai kerajaan dan pelindung kepentingan peneroka,” katanya.

Shahrir berkata perjanjian itu tidak ada percanggahan dengan apa yang dikehendaki oleh pengasas Felda, Abdul Razak Hussein dan juga Taib Andak dahulu.

“Felda adalah skim reformasi tanah yang terbaik dan pelbagai pihak cuba membawanya ke negara masing-masing.

“Cuma mereka gagal untuk melaksanakan di negara mereka kerana tidak ada political will (kesungguhan politik) sebagaimana kita,” kata Shahrir.

Shahrir berkata Felda adalah satu kejayaan apabila Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan tiga menteri Indonesia berjumpa beliau bagi membincangkan skim Felda di negara mereka.

Beliau bagaimanapun mengaku ada kelemahan sedikit sebanyak di sana-sini namun ia sedang diperbetulkan, antaranya dengan memperkemaskan pengurusan Felda bagi memastikan institusi kewangan sendiri yakin dengan kemampuan Felda.

Shahrir mengaku Felda ada hutang dan itu sebabnya kenapa ia menjual hartanahnya di Bayswater, London.

Beliau merujuk kepada hotel yang dibeli oleh anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC).

Felda sebelum ini berkata ia menerima 54 tawaran untuk membeli hotel itu, yang diperolehnya pada 2014 dengan harga RM330 juta.

“Misalnya kita jual hotel kita di London. Ini kerana kita memang ada masalah hutang.

“Jadi kalau kita ada Ferrari, kenapa kita tidak jual kereta itu dulu sebelum membuat pinjaman dengan bank,” katanya. – 25 November, 2017.

Iklan
Iklan