Iklan

Felda yakin peneroka selesai hutang dalam 20 tahun

Felda chini 20171117 tmihasnoor 024
Generasi kedua dan ketiga Felda bimbang kedudukan hutang mereka dengan badan kerajaan itu selepas membuat tanaman semula mencecah puluhan dan ada ratusan ribu ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2017.
Iklan

SHAHRIR Samad yakin peneroka Felda akan berjaya menyelesaikan hutang tanam semula dengan agensi kerajaan itu selepas 20 tahun tanam semula dibuat.

Pengerusi Felda itu berkata tempoh itu sama dengan masa yang diperlukan oleh mereka untuk menyelesaikan hutang pertama dengan Felda, yang diambil dari Bank Dunia, iaitu 20 tahun selepas masuk ke tanah rancangan itu.

“Ya, hutang akan habis (dalam masa 20 tahun),” kata Shahrir dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau menjawab mengenai kerisauan peneroka Felda khasnya generasi kedua dan ketiga yang bimbang kedudukan hutang mereka dengan badan kerajaan itu selepas membuat tanaman semula mencecah puluhan dan ada ratusan ribu ringgit.

Shahrir berkata mengikut data yang ada pada Felda, hanya 114 peneroka saja mempunyai hutang besar lebih RM160,000 manakala kebanyakannya berhutang kurang RM60,000.

“Kategori inilah yang kita akan bantu melalui geran,” katanya merujuk kepada geran RM60 juta yang diumumkan dalam Bajet 2018 baru-baru ini.

Shahrir berkata hanya 2,500 daripada lebih 112,000 keseluruhan peneroka tidak ada hutang dengan Felda.

Katanya, Felda menyediakan pinjaman tanam semula ini kerana tahu peneroka tidak boleh mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan dengan mencagarkan tanah mereka untuk mendapatkan pinjaman tanam semula.

“Daripada segi sistem kita semua tahu tanah Felda terletak di bawah Akta GSA (Group Setlement Act) yang mana tanah mereka tidak boleh dicagarkan ke mana-mana institusi kewangan.

“Sebab itu Felda jadi macam bank yang memberikan pinjaman kepada peneroka,” katanya menerangkan kenapa Felda sendiri jadi peminjam kepada peneroka untuk membolehkan mereka membuat tanam semula.

Shahrir berkata kerajaan sedar peneroka sekarang risau tentang hutang mereka dengan Felda.

“Sebab itu dalam Bajet 2018 baru-baru ini, kita peruntukkan RM60 juta dalam bentuk geran melalui MPOB (Malaysian Palm Oil Board) untuk membantu pengurangan hutang ini.

“Kita samakan peneroka ini dengan skim pekebun kecil dan layak menerima geran sehingga RM30,000 untuk mengurangkan hutang mereka,” katanya.

Dengan cara itu, katanya peneroka yang hutang mereka terlalu besar dan sukar dilunaskan dalam masa 20 tahun yang ditetapkan akan dibantu.

Katanya, ada pelbagai sebab kenapa sesetengah peneroka banyak hutang dengan Felda berbanding dengan peneroka yang lain.

Antaranya kerana kedudukan ladang mereka yang tidak berapa baik, berbukit atau di dalam paya, menyebabkan proses tanam semula ini memakan masa lama dan menyebabkan kos tinggi.

“Ada juga peneroka yang terus mahu mendapatkan pendahuluan hasil walaupun ladang mereka sudah mengeluarkan hasil. Ini menyebabkan hutang mereka banyak,” katanya.

Shahrir berkata hutang peneroka pada asasnya tiga iaitu kos tanam semula, pendahuluan sara hidup dan pendahuluan hasil.

Katanya, ramai peneroka dan khasnya anak mereka salah faham dengan pendahuluan sara hidup ini yang setengahnya beranggapan ia elaun sara hidup yang diberikan Felda, bukannya hutang.

“Kenapa Felda nak beri elaun kepada mereka. Mereka bukannya pekerja Felda. Ia pendahuluan iaitu pinjaman Felda untuk membantu mereka sebelum mendapat hasil selepas tanam semula,” katanya.

Katanya, kos tanam semula ketika itu antara RM20,000 ke RM30,000 “tetapi sekarang kita jangka jumlahnya RM48,000 setiap peneroka”. – 25 November, 2017.

Iklan
Iklan