Nampak berdendam kepada PKR
Iklan
KEDAH jatuh bukanlah sebuah berita. Babak berkenaan sudah lama terduga.
Terutamanya apabila majoriti yang dipegang oleh Pakatan Harapan (PH) berbanding gabungan lawan, adalah tipis sekali. Hanya berselisih satu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) saja. PH ada 18, dan musuhnya – yang tidak pasti apa namanya itu – ada 17.
Saya katakan musuh yang “tidak pasti apa namanya itu” kerana Umno sendiri pun keliru. Mereka menyebutkan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak wujud. Umno tidak masuk dalam PN. Kalau pun ada perjanjian rasmi adalah dalam Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN). Bukannya PN.
Bagi penentang PH, nampaknya nama tidak penting. Apa yang mustahak, PH ditumbangkan dengan apa cara saja.
Memang benar, apakah tipu muslihat yang tertinggi perlu nama lain selain “pengkhianatan”?
Rasanya tidak! Mungkin dengan alasan yang samalah, lalu sesetengah pihak menyebutkan puak perampas kuasa itu sebagai “pengkhianat nasional”. Singkatannya juga “PN”.
Serangan di Kedah
Di Kedah semalam, jangankan yang lompat dua Adun, seorang pun boleh menyebabkan kerajaan PH jadi terbalik. Kerajaan baharu “PN” pun didirikan walaupun calon menteri besar (MB) belum jelas. Kasi terbalik saja dulu.
Dan kalau pun dua Adun asal PKR yang lompat, sebenarnya kejadian itu juga tidak ada apa-apa nilai berita.
Keduanya sudah dikenali sebagai orang Azmin Ali. Bukan cuma mereka mengakuinya, tapi turut ada gambar keduanya hadir di rumah Azmin ketika Azmin siap-siap mahu ke istana untuk angkat sumpah sebagai anggota Kabinet Muhyiddin Yassin.
Serangan yang sudah terduga di Kedah boleh dikatakan serangan yang terakhir yang mampu dilakukan oleh puak perampas kuasa. Selepas ini tidak ada lagi negeri PH yang boleh ditumbangkan – di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, PH mempunyai majoriti selesa.
Peluru puak perampas kuasa pula sudah hampir habis. Kalau berbaki pun, adalah satu-dua lagi wakil rakyat yang kekal takut untuk keluar parti kerana tidak sanggup hilang gelaran sebagai YB dengan kerusi yang automatik boleh jadi kosong.
Lainlah kalau PH sendiri, khasnya PKR, mahu menyingkirkan seorang dua yang masih menjadi duri dalam daging. Kalau tidak dibuang pun, sudah tidak mengapa. Mereka terlalu kecil untuk memberikan kesan besar.
Hilang khianat, terbitlah dendam
Di sela-sela berita yang tidak bernilai lagi itu, lembaran yang terhampar ialah kisah dendam bekas-bekas pemimpin Keadilan yang luar biasa terhadap Keadilan. Sakit hati dan merana jiwa yang lebih parah ketimbang Anwar atau para pengikutnya tercampak keluar daripada Umno dan kerajaan pada 1998 dulu.
Sebabnya? Sebab Anwar dan pengikutnya tidak boleh mendakwa Umno adalah parti milik mereka. Umno adalah parti yang sudah wujud sebelum Anwar menyertai Umno sekalipun. Lantas adalah tidak layak dan tiadalah dendam Anwar yang membuak-buak terhadap Umno.
Berbeza dengan golongan penentang dan perampas kuasa – terutama yang dibuang dari PKR. Sebahagian mereka merupakan pendiri awal Keadilan. Justeru itu, jauh dalam hati menganggap Keadilan sebagai “parti aku”: “aku yang punya”!
Sedangkan tidak. Dalam sejarah lebih 20 tahun PKR, ada beberapa pendirinya juga meninggalkan parti, atau juga disingkirkan. Antaranya termasuklah Marina Yusuf, Lokman Noor Adam, Zahid Mat Arip, Ezam Mohd Noor dan ramai lagi.
Namun mereka tersingkir ketika PKR bukan sebesar sekarang. Belum punya kuasa.
Oleh itu, mungkinlah mereka tidak panas hati atau terlalu merah dendam kesumatnya – sampai kalau boleh, PKR mahu dibumi-hanguskan sama sekali. Biar tidak berabu secubit pun.
Anehnya, sejak dulu… sejak PKR beberapa kali dikhianati dan cuba dihabisi, yang terjadi sebaliknya.
Makin dikhianati, makin kuat
PKR makin kuat. Kekal sebagai sebuah wadah politik pembaharu dan reformasi. Makin pula diterima anak-anak muda. Makin didakapi masyarakat luar bandar.
Daripada tidak ada kerajaan, sekarang PKR tetap menguasai sekurang-kurangnya dua negeri: Selangor dan Negeri Sembilan, sementara menjadi tunggak penting di Pulau Pinang.
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, Muhyiddin pernah bilang, “PKR akan mati”. Sama macam Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang tidak panjang hayatnya.
Ternyata tidak. Bahkan dalam PRU lalu, PKR menjadi penyelamat kepada karier politik Muhyiddin.
Ketika Muhyiddin teruk dibuli oleh Najib Razak, sebagai presiden Umno dan PM waktu itu, PKR menghulurkan tangan persaudaraan dan bantuan buat Muhyiddin.
Sejarah juga tidak boleh dikambus ketika satu negara menyaksikan Muhyiddin bertanding dengan tiket PKR– parti yang lebih 15 tahun lalu menurutnya akan mati. Tanpa lambang mata milik PKR, mungkin hayat politik Muhyiddin sudah tertanam di Pagoh. Ditanam oleh Najib dan Umno; PAS dan BN.
Dengan menyokong dan menjadi sebahagian daripada puak perampas kuasa, Muhyiddin sesungguhnya jauh daripada memahami jiwa budaya dan manusia Melayu.
Pantang Melayu khianat
Kepada bangsa Melayu, ada makna besar di dalam peribahasa “orang berbudi, kita berbahasa”. Selepas diselamatkan, dan selepas PKR memberikan budi kepada Muhyiddin, tangannya pula menikam pihak yang pernah menyelamatkan dia dua tahun lalu.
Melayu yang benar, tidak begitu. Melayu juga tidak akan menerima orang yang tidak tahu mengenang budi dan tidak tahu diuntung.
Sehina-hina seorang Melayu, pantangnya adalah khianat. Itu pantang besar. Melayu belajar daripada kisah Hang Tuah, yang tidak menjadikan kesilapan sultan menjatuhkan hukuman sebagai alasan untuk menentang sultan.
Juga seperti Hang Jebat, yang tahu makna persahabatan maka dia rela menjadi seperti “wakil” Tuah untuk melancarkan penentangan. Penentangan Jebat itu pun bukanlah satu bentuk pengkhianatan.
Baik Tuah mahupun Jebat, keduanya itu mengajarkan manusia Melayu makna “budi” dan “setia” – setia Jebat kepada Tuah, dan budi Tuah kepada rajanya.
Mabuk khianat
Dalam kisah pertarungan yang penuh budiman antara Hang Tuah dan Hang Jebat itu, ada pengajaran yang selalu diabaikan oleh ramai politikus hari ini.
Pengajaran itu adalah, sekali seseorang itu boleh mengkhianati pihak yang pernah berbudi kepadanya, sesiapa pun akan dikhianati kelak.
Khianat ibarat candu. Sekali terkena, akan kecanduanlah sampai bila-bila.
Kesedaran Melayu pada akhirnya mudah: orang yang pernah khianati kawan, dia akan mengkhianati sesiapa sahaja. Termasuklah sultan.
Di situ, menyelamatkan bangsa adalah lebih penting ketimbang hilang kerajaan – yang bukan layak menjadi berita sekalipun. Bila kesedaran bangsa terpelihara, kerajaan Kedah, Perak, Melaka, Johor dan lain-lain terlalu mudah untuk diambil kembali.
Putrajaya pun tidak jauh mana untuk ditawan. Sejauh urat merih dengan nyawa saja jaraknya. – 13 Mei, 2020.
* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.