Iklan

Semua 36 Adun dipanggil menghadap Sultan Kedah esok

Zaim Ibrahim4 years ago14th May 2020Berita
Malaysia 14th general election nomination langkawi 04
Pakatan Harapan memenangi tampuk pemerintahan Kedah dalam PRU14 yang lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.
Iklan

SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dipanggil menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah esok, ketika Menteri Besar Mukhriz Mahathir dikatakan sudah hilang majoriti untuk terus mentadbir negeri.

Majlis menghadap akan berlangsung di pejabat baginda di Wisma Darul Aman, di Alor Setar. 

The Malaysian Insight difahamkan pertemuan akan berlangsung dalam dua sesi, dimulai dengan barisan wakil rakyat Umno dan PAS pada sebelah pagi.

Seorang Adun PAS yang enggan dinamakan memberitahu beliau sudah menerima panggilan untuk menghadap esok.

“Sudah (terima jemputan rasmi), jam 10 pagi esok,” katanya, yang turut mengesahkan beliau dipanggil ke Wisma Darul Aman.

Adun Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee, yang mengumumkan dirinya keluar PKR kelmarin dan kini wakil rakyat bebas, juga mengesahkan menerima surat jemputan untuk menghadap Sultan Sallehuddin pada sebelah pagi.

Beberapa Adun Pakatan Harapan dari Amanah dan DAP juga mengesahkan mereka dipanggil menghadap tetapi pada sebelah petang.

Adun Alor Mengkudu dari Amanah, Phahrolrazi Mohd Zawawi mengesahkan beliau telah mendapat jemputan rasmi.

“Betul, saya baru dapat jemputan. Saya dapat jemputan sesi petang,” katanya.

Adun Kota Darul Aman dari DAP, Teh Swee Leong juga menerima jemputan sama.

“Esok akan menghadap Sultan Kedah pada jam 3.30 petang,” kata beliau.

Sehingga berita ini ditulis, Adun Ayer Hitam dari Pas, Azhar Ibrahim bagaimanapun berkata, beliau belum menerima surat rasmi daripada pihak Istana namun pada dasarnya sudah maklum mengenai majlis menghadap esok.

“Maklumat rasmi belum diterima, tapi difahamkan begitulah (semua Adun menghadap Sultan esok),” katanya.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan kepada The Malaysian Insight sudah mendapat makluman aturan kawalan keselamatan dan pergerakan untuk orang kenamaan (VVIP).

Awal hari ini, Sultan Sallehuddin tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas pada kira-kira 11.45 pagi. Baginda sebelum ini dilaporkan berada di Kuala Lumpur.

Harakahdaily semalam melaporkan Sultan Sallehuddin sudah dipersembahkan nama calon baru menteri besarnya bersama akuan berkanun yang ditandatangani oleh 23 Adun dari PAS (15), Umno (2), Bersatu (4) dan dua wakil rakyat bebas bekas PKR.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dipetik berkata dokumen itu diserahkan oleh tiga pemimpin parti yang bersama dalam Perikatan Nasional iaitu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pertemuan di Kuala Lumpur itu menyusul pengumuman ketua pembangkang di DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Mukhriz sudah hilang majoriti untuk kekal sebagai menteri besar.

Mukhriz semalam bagaimanapun menegaskan pentadbirannya masih wujud dan beliau masih menteri besar yang sah kerana kedudukan kerajaan tidak ditentukan melalui sidang media pemimpin atau parti politik.  

Minggu lalu juga, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya mengumumkan kesediaan parti Islam itu untuk mengambil alih pentadbiran negeri, ketika PKR dan Bersatu berdepan krisis dalaman.

Pada Ahad, pemimpin PAS dan Umno negeri mengadakan mesyuarat tertutup hampir tiga jam, dipercayai membincangkan peralihan kerajaan negeri. Pertemuan melibatkan semua 17 wakil rakyat kedua-dua parti dan disertai pemimpin kanan parti dari pusat.

Pada Selasa, dua Adun PKR mengumumkan mereka bukan lagi wakil rakyat parti dan Pakatan, sebaliknya menyokong Perikatan Nasional.

Ling dan Azman Nasruddin (Lunas) diketahui umum menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang dipecat pada hujung Februari lalu kerana dianggap mengkhianati parti dan dalang runtuhnya Pakatan di Putrajaya.

Sejak Pakatan jatuh di Putrajaya, tiga negeri juga beralih pentadbiran iaitu Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat. Kedah bagaimanapun kekal kerana Pakatan membentuk kerajaan dengan Bersatu walaupun bukan gabungan lagi di peringkat persekutuan.

Mukhriz pernah disingkir dari jawatan menteri besar Kedah pada 2016 selepas beliau dipecat dari Umno bersama Muhyiddin Yassin kerana membangkitkan soal skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan kaitannya dengan Najib Razak. – 14 Mei, 2020.

Iklan
Iklan