PAS tidak terlibat jatuhkan kerajaan Mukhriz, kata MB baharu
Iklan
PAS tidak terlibat dalam apa juga gerakan politik sehingga menyebabkan pentadbiran Mukhriz Mahathir jatuh, kata Menteri Besar Kedah yang baharu Muhammad Sanusi Md Nor.
PAS juga tidak berjanji untuk mengekalkan pentadbiran Mukhriz sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, katanya.
Sanusi sebaliknya berkata pentadbiran Mukhriz jatuh kerana tindakan wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu sendiri.
“Saya rasa perubahan kuasa ini bukan daripada PAS tetapi daripada PH,” katanya, merujuk tindakan enam Adun PH dan Bersatu yang menarik sokongan mereka kepada Mukhriz pada Selasa lalu.
“Tidak betul saya ada janji dengan Mukhriz seperti yang beliau dakwa,” katanya dalam sidang media pertama selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Kedah yang baharu di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Sanusi bagaimanapun mengakui beliau ada berjumpa Mukhriz sebelum ini untuk menyatakan sokongan kepada beliau supaya terus menjadi menteri besar Kedah.
“Memang ada pergilah (jumpa dan nyatakan sokongan)... Supaya dia boleh berbaik dengan pertembungan-pertembungan yang rugikan rakyat.
“Tetapi hubungan semakin tajam, akhirnya berlakulah apa yang berlaku hari ini,” jelas Sanusi.
Awal hari ini, Mukhriz mendakwa PAS memungkiri janji tidak akan memujuk wakil rakyat PH menyokong gabungan Perikatan Nasional.
“Kepimpinan PAS Kedah telah memberi jaminan kepada saya bahawa mereka juga tidak akan mendesak Adun-Adun PH untuk melompat ke pihak mereka.
“(Mereka) juga bersetuju bahawa saya terus berkhidmat sebagai menteri besar hingga akhir penggal ke-14 ini,” katanya dalam sidang media pada sebelah pagi, mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai menteri besar.
Minggu lalu, PAS Kedah menegaskan kesediaan mengambil alih teraju negeri dan selepas itu mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Umno, melibatkan semua 17 wakil rakyat kedua-dua parti dan disertai pemimpin kanan parti dari pusat.
Dua hari selepas pertemuan itu, dua Adun PKR – Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) – mengumumkan keluar PH selepas krisis dalaman PKR berhubung pertukaran kerajaan di Putrajaya pada Februari lalu.
Empat Adun Bersatu juga berpaling tadah terhadap Mukhriz, yang beliau dedahkan mengaku diarah berbuat demikian oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, supaya menyokong Perikatan Nasional.
Empat Adun itu ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah, Langkawi) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).
Mukhriz awal hari ini juga mempersoalkan tindakan empat Adun Bersatu yang berubah angin tidak lagi menyokong beliau sebagai menteri besar ketika pentadbirannya sedang sibuk menangani penularan wabak Covid-19.
Mukhriz berkata beliau sedang mempengerusikan mesyuarat majlis keselamatan khas negeri mengenai Covid-19 semalam ketika muncul berita wakil rakyat pembangkang PAS mengadakan sidang media menyerangnya.
“Semalam saya pengerusikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan khas untuk Covid-19. Pada masa sama pembangkang buat sidang media untuk usul tidak percaya.
“Siapa jaga rakyat sekarang?” soalnya. – 17 Mei, 2020.