Persiapan raya tak sakan macam dulu, kata peniaga Pekan Rabu
Iklan
PEKAN Rabu di tengah Alor Setar, Kedah yang biasanya menjadi tumpuan orang ramai membuat persiapan sambutan Aidilfitri adalah potret derita para peniaga yang menanggung kesan suram dan lesunya perniagaan akibat wabak Covid-19.
Sekatan dan syarat sambutan hari raya yang dikenakan oleh kerajaan menjejaskan cara pengguna berbelanja, kata peniaga.
Sejak dibuka semula pada 9 Mei, selepas ditutup sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pertengahan Mac lalu, peniaga mengaku orang tidak berbelanja seperti tahun-tahun sudah.
Bukan saja permintaan baju raya menurun, peniaga makanan pun menanggung rugi beribu-ribu ringgit kerana stok jualan rosak selepas kedai lama ditutup.
Peniaga baju Melayu, Muhammad Aidil Haiqal Zaidi, 18, berkata biasanya mereka menyediakan 1,000 pasang pakaian tetapi tahun ini cukuplah dengan menjual stok sedia ada.
“Aidilfitri tahun ini, perniagaan kita semua tidak meriah. Pakaian yang jual pun hanya habiskan stok lama.
“Sebelum ini kami tempah 1,000 pakaian dan letak di kedai, hasil jualan boleh cecah RM20,000-RM30,000.
“Tetapi sejak kedai buka Sabtu (9 Mei) lepas, sehari sepasang saja dapat jual,” katanya, yang merupakan generasi ketiga yang mewarisi perniagaan yang dimulakan oleh datuknya.
Aidil berpendapat pelbagai syarat yang ditetapkan oleh kerajaan kepada peniaga dan pusat perniagaan menyebabkan pelanggan bimbang untuk membeli belah di Pekan Rabu.
“Walaupun kedai buka, pelanggan tidak boleh masuk dan mereka tengok dari luar. Pelanggan juga tidak boleh mencuba pakaian dulu.
“Perkara ini timbulkan ‘kesusahan’ kepada mereka,” jelasnya.
Peniaga makanan tradisional, Muhd Iqbal Saidin, 38, pula mengaku rugi hampir RM10,000 kerana stok jualan rosak, tidak sempat dijual kerana sekatan semasa PKP sejak 18 Mac lalu.
“Sambal belacan, ikan masin, dan kuih bahulu akhirnya rosak sebab ditinggalkan dalam kedai.
“Saya harapkan Pekan Rabu dapat buka balik waktu hari pertama Ramadan tetapi akhirnya dibuka waktu pertengahan, jadi untung memang tidak banyaklah,” jelasnya.
Iqbal juga generasi ketiga yang berniaga di Pekan Rabu. Beliau mempunyai empat lot kedai di pasar raya itu yang menjual kuih bahulu, pelbagai ikan masin dan pekasam.
“Pekan Rabu ini majoriti pengunjung orang luar… dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Makanan-makanan tradisional waktu musim perayaan memang laku untuk mereka bawa sebagai juadah.
“Tiap-tiap tahun, Hari Raya kedua kita buka balik kedai sebab orang nak beli kuih untuk rumah terbuka. Tapi tahun ini rumah terbuka pun tidak boleh dianjurkan jadi tidak pasti akan buka atau tidak,” katanya lagi.
Iqbal berkata jualan musim perayaan biasanya boleh mencapai hingga RM30,000 tetapi tahun ini, beliau membayangkan keuntungan sekitar RM10,000 sahaja.
Pekan Rabu, yang berusia 88 tahun, merupakan destinasi utama bagi mendapatkan pelbagai kelengkapan musim perayaan Aidilfitri, yang menawarkan kraftangan, pakaian, dan makanan tradisional.
Selepas ditutup dua bulan kerana PKP, Pekan Rabu beroperasi semula pada 9 Mei dengan beberapa peraturan.
Antaranya setiap peniaga dan pelanggan disaring suhu badan selain perlu mengisi maklumat peribadi dan diberikan kupon bernombor.
Pelanggan yang membawa kanak-kanak juga tidak dibenarkan masuk, manakala tiada sesiapa boleh mencuba pakaian.
Peniaga pakaian Melayu untuk wanita, Samsudin Ismail, 57, mengakui pendapatannya merosot teruk akibat prosedur yang ketat.
“Kita faham prosedur ketat untuk kebaikan kita bersama. Nyawa kita dan pelanggan adalah lebih penting.
“Cuma ia banyak ganggu pendapatan kita. Saya nak sasarkan RM5,000 sebelum Aidilfitri pun tidak berani.
“Macam hari ini kita buka dari siang sekarang dah petang, tiada seorang datang membeli,” katanya, yang sudah berniaga di Pekan Rabu sejak 30 tahun lalu.
Selama tiga dekad berniaga, katanya, Pekan Rabu tidak pernah sunyi dengan pelanggan tetapi kali ini kemeriahan Aidilfitri terasa pudar apabila tidak ramai pelanggan boleh masuk pada satu-satu masa.
“Kalau tahun- tahun lepas, ruangan parkir yang ada 180 lot pun tidak cukup. Kita meniaga pun semangat sebab orang ramai.
“Saya harap hanya tahun ini saja orang tidak ramai.
“Untuk tahun akan datang, moga keadaan normal kembali,” tambahnya.
Harap sewa dikecualikan
Sementara itu, peniaga makanan Norliza Ahmad, 49, berharap pihak pengurusan Pekan Rabu atau kerajaan negeri dapat bertimbang rasa mengurangkan beban mereka yang tiada sebarang kerana tidak boleh berniaga selama dua bulan lalu.
Katanya, beliau tidak mampu membayar sewa RM300 sebulan kepada pihak pengurusan, yang sudah tidak dibayarnya sejak dua bulan.
“Dahulu waktu perayaan, sehari boleh dapat RM2,000. Tetapi sejak kami buka seminggu, baru dapat RM500.
“Sebab itu saya harapkan ada pihak sama ada kerajaan negeri atau pengurusan boleh kecualikan bayaran sewa atau beri diskaun,” katanya.
Norliza yang berniaga di Pekan Rabu sejak 15 tahun lepas berkata kini beliau banyak mengharapkan jualan serunding daripada pelanggan tetap.
“Tiap-tiap kali raya saya jual serunding ayam, daging tempatan dan daging import dari Kelantan. Tapi tahun ini, saya kurangkan 50% jualan sebab tahu orang pun tidak akan ramai membeli,” jelasnya.
Selain serunding, Norliza turut menjual pelbagai aneka kerepek, beras dan kuih-muih.
Kedah yang merekodkan 95 kes jangkitan Covid-19 dengan satu kematian sebelum ini kini menjadi antara negeri zon hijau selepas tiada lagi jangkitan baharu. – 20 Mei, 2020.