Iklan

Kami bukan strawberi, kata generasi muda

Melati A. Jalil7 years ago27th Nov 2017Berita
Budget 2018 nazir 13
Pada 2015, kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini dianggarkan hampir mencapai 10.7%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2017.
Iklan

SELEPAS dua tahun menerima kata-kata yang merendahkan dirinya, Izati Mohamed merasakan sudah cukup-cukuplah dan membuat keputusan untuk berhenti kerja pertamanya di sebuah syarikat swasta di Shah Alam.

Wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai setiausaha eksekutif menguruskan hal ehwal awam di jabatan keselamatan berkata walaupun menerima manfaat daripada syarikat itu, ia tidak berbaloi dengan rasa seksanya yang terpaksa dilalui di pejabat.

“Bekas majikan saya tidak profesional langsung. Dia selalu campuradukkan hal peribadi dengan kerja. Dia asyik kata semua orang malas walaupun kami sudah buat apa dia minta.

“Jika dia ada masalah dengan isteri, kami yang terpaksa hadap mood dia yang teruk,” katanya, mengenang kembali pengalamannya dua tahun lalu, selepas menamatkan pengajian di universiti tempatan.

Menafikan tidak mampu mengendalikan tekanan kerja, Izati berkata beliau pekerja paling lama bertahan di jabatan itu.

“Semua tempat kerja ada tekanannya tetapi bila ada majikan seperti itu, yang tidak menghargai anda dan mengamalkan pilih kasih, ia sedikit sebanyak mengganggu kerja.

“Saya tidak nampak apa perlunya kekal lagi di syarikat itu kerana kenaikan gaji tidak sepadan dengan kerja saya. Tidak ada perkembangan kerjaya juga,” katanya, menambah beliau akan mula bekerja di syarikat baharu bulan depan.

“Saya tidak fikir generasi saya tidak mampu kendali tekanan atau sikap kami yang teruk. Jika itu keadaannya, maknanya kami tidak dapat selesaikan tugas yang diberikan,” katanya.

Banyak pihak menyelar sikap generasi sekarang yang teruk menjadi salah satu sebab kadar pengangguran belia dalam negara pada masa ini sangat tinggi.

Generasi strawberi satu istilah yang dikatakan diperkenalkan di Taiwan, bagi melabel generasi lahir pada 1981 ke atas. Generasi ini dikatakan terlalu rapuh, manja kerana keluarga yang terlebih melindungi. Mereka dilabel strawberi kerana buah itu manja dan perlukan penjagaan teliti, suasana selesa serta tidak mampu menahan tekanan hidup dan tidak mahu bekerja keras.

Laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2016 berkata kadar pengangguran belia dalam negara mencecah lebih daripada tiga kali ganda bagi kadar pengangguran negara 3.1% akibat pertumbuhan pengambilan kerja yang perlahan.

Pada 2015, kadar pengangguran dalam kalangan belia dianggarkan hampir mencapai 10.7%.

Bank Negara berkata belia mewakili lebih separuh pekerja menganggur, walaupun ia hanya membentuk satu pertiga daripada tenaga buruh.

Amir Roslan, 28, yang bekerja sepenuh masa sebagai pemandu Grab selama hampir setahun, berkata beliau berhenti kerja pejabat 9-5 sebagai pengurus butik apabila majikan mula minta yang bukan-bukan.

“Saya diambil bekerja sebagai pengurus butik tetapi bos saya mahu saya bina laman web fesyen seperti syarikat online besar yang lain.

“Majikan saya selalu minta saya buat yang di luar bidang kerja. Dia minta saya bina laman web dengan bajet RM3,000. Itu mustahil. Itu sebabnya saya berhenti,” katanya.

Amir berkata beliau tidak memilih kerja dan melakukan pelbagai jenis kerja lepas tamat belajar.

“Orang tidak boleh secara am kata generasi kami memilih atau manja. Saya pernah kerja juruwang gaji RM1,200. Saya juga pernah kerja kontrak harian dengan kementerian RM1,500 sebulan.

“Tetapi saya terpaksa berhenti bila mereka hendak turunkan bayaran saya tetapi minta saya isi jawatan hanya kerana mereka tidak cukup bajet.

“Dan sekarang saya kerja lebih 12 jam sehari untuk cukupkan keperluan. Saya okay dengan kerja ini kerana saya boleh jadi bos sendiri dan waktu kerja fleksibel,” katanya.

Penganjur program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), satu program dilancarkan pada 2011 bagi membantu graduan menganggur, Norashikin Ismail berkata sikap buruk menjadi salah satu halangan besar kepada graduan.

Norashikin berkata walaupun sesetengah graduan menganggur memang kurang latihan dan kemahiran, sejumlah besar lagi graduan hanya terlalu malas, banyak perangai dan suka mendesak.

“Untuk mengubah sikap dan pemikiran mereka jadi satu cabaran pada kami, kerana sikap itu memang terpulang pada mereka,” katanya.

Amir tidak bersetuju dan berkata generasi hari ini berdepan kesukaran berbeza daripada generasi terdahulu.

“Pergelutan kami untuk hidup dalam dunia hari ini berbeza berbanding 30 tahun lalu. Komitmen kami sebaik saja tamat belajar lebih tinggi.

“Jadi, ia bukan tentang sikap, ia sama ada anda diberi cukup wang untuk bertahan dan bagaimana anda dilayan,” katanya.

Emilia Hadri, yang mempunyai seorang anak berkata beliau berhenti kerja kerana tekanan kerja dan majikan teruk, kerana beliau hendakkan keseimbangan hidup dan kerja.

“Bila anda kerja terlalu panjang masanya, ia akan menjejaskan emosi dan kesihatan. Kadangkala terpaksa kerja lebih masa untuk tunjuk pada bos, tetapi mereka tidak hargai kerja anda dan saya tidak boleh tahan dengan politik pejabat.

“Saya akui ada sebahagian generasi saya cenderung berhenti kerja bila berdepan ujian sukar, tetapi keadaan saya tidak berlaku jika mereka hidup dengan ibu bapa atau tidak ada komitmen.

“Dan saya mahu membina keluarga pada masa itu, sangat susah untuk bekerja lebih masa,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai eksekutif pusat panggilan.

Emilia, 30, berasal dari Gombak berkata zaman sekarang tidak sesuai lagi untuk kekal dalam satu syarikat saja untuk tempoh lama kerana ganjarannya tidak mencukupi.

“Ini bukan tentang anda generasi strawberi atau tidak, ia kerana kami boleh tangani beban tugas, tetapi bila anda berdepan dengan bos yang mulut jahat, kami ada had kami,” katanya. – 27 November, 2017.

Iklan
Iklan