Kementerian Pengangkutan digesa laksana urusan dalam talian sepenuhnya
Iklan
PENGEDAR kereta boleh memberikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dengan menggunakan teknologi dan ia boleh membantu mengurangkan kesesakan di Puspakom, pusat pemeriksaan kenderaan rasmi, selain mencapai sasaran mendigitalkan industri ini.
Presiden Gabungan Persatuan Perusahaan Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Tony Khor berkata pengedar kereta berkelayakan boleh menjalankan pemeriksaan kenderaan secara elektronik, malah berhubung secara dalam talian dengan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Pertubuhan itu menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada 21 Mei, meminta pengedar kereta berkelayakan diizinkan melakukan pemeriksaan kereta elektronik, apatah lagi dengan penjarakan sosial bagi mengekang Covid-19 yang kini menjadi kebiasaan.
Khor berkata pemeriksaan digital sepenuhnya juga akan membantu sebarang masalah yang timbul akibat kecuaian.
Platform ezAuto.my dilancarkan pada Januari dan membolehkan peniaga kereta terpakai melakukan transaksi mereka secara dalam talian.
Bagaimanapun dengan kerajaan masih memerlukan pemeriksaan kereta dilakukan di Puspakom, keseluruhan proses dalam talian sepenuhnya tidak boleh dilakukan, yang seharusnya menjadi matlamat utama, kata Khor kepada The Malaysian Insight.
“Beberapa pemeriksaan masih dilakukan oleh Puspakom secara manual. Tetapi jika ia dapat dilakukan dengan teknologi, kita harus melakukannya kerana penggunaan digital dapat menghapuskan segala masalah yang timbul akibat kecuaian,” kata Khor.
Beliau berkata pertubuhan itu sudah memberitahu Wee yang penggunaan digital akan memastikan ketelusan keseluruhan proses yang lebih baik.
Ini juga akan menghentikan segala amalan menyalahi undang-undang seperti memalsukan permit kenderaan atau melakukan pemindahan kenderaan secara haram.
Khor berkata pertubuhan juga boleh membantu kerajaan mengenal pasti pengedar kereta berkelayakan yang mampu melakukan pemeriksaan digital dan memberi latihan kepada pengedar lain juga.
Pada masa ini, 43 pengedar kereta sudah mendaftar untuk menjalani pemeriksaan kenderaan dalam talian dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 200, tambah Khor.
Dengan semua proses berkaitan pembelian kereta dilakukan dalam talian, kata Khor, kelebihan sistem ialah pembeli hanya perlu mengambil kenderaan atau menghantarnya selepas akhir transaksi.
“Kami berharap Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan sistem 100% dalam talian.
“Ia akan mendorong industri automotif ke dalam penstrukturan semula yang diperlukan dan k ke arah Industri 4.0 dan era digital.” – 24 Mei, 2020.