Tarik pelabur asing tinggalkan China, kata pakar ekonomi kepada Putrajaya
Iklan
PAKAR ekonomi menggesa Putrajaya untuk lebih proaktif menarik pelaburan langsung asing (FDI) berbanding menunggu faktor yang tepat bagi menangani masalah ekonomi termasuk jangkaan kadar pengangguran yang tinggi ekoran pandemik Covid-19.
Mereka menjadikan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun sebagai contoh kerana kedua-dua negara sudah menukar dasar untuk menarik pelaburan pembuatan yang menarik diri dari China kembali ke negara masing-masing.
Sejak Covid-19 mengganas, AS mengumumkan pelan menempatkan semula perniagaannya dari China manakala Jepun sedia melabur ke dalam syarikatnya yang beroperasi di Asia Tenggara sebagai sebahagian dasar penempatan semula operasi perniagaannya.
India juga turut melobi firma AS untuk membuka operasi perniagaan di subbenua.
Laporan UK Financial Times menyebut India mencari pelabur berpotensi dari AS, Jepun dan negara lain dengan harapan menggantikan kedudukan China dalam rangkaian bekalan dunia.
India juga sedia mempertimbangkan untuk meneliti semula undang-undang buruh bagi memudahkan pembukaan kilang dan menyediakan insentif cukai bagi menarik pelaburan.
Profesor bersekutu dalam bidang ekonomi Dr Wong Chin Yoong memberitahu The Malaysian Insight bahawa ini merupakan contoh langkah proaktif, tidak seperti dilakukan Putrajaya.
Kata profesor dari Universiti Tunku Abdul Rahman itu, Malaysia perlu menarik pengeluar yang mahu meninggalkan China untuk datang ke negara ini.
“Ini bukan lagi tahun 80-an yang mana tidak banyak negara di rantau ini boleh bersaing dengan kita selain Singapura. Kerajaan perlu lebih proaktif dan Malaysia perlu bersaing.
“Kita perlu mempunyai pakej yang mampu menarik industri tertentu dengan menyediakan insentif tanah, cukai dan tenaga buruh,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga mencadangkan Asean untuk memainkan peranan menarik pelaburan ke rantau ini dan tidak lagi menumpukan pelaburan secara individu kepada negara anggota.
Beliau memberi contoh industri pembuatan komponen pesawat yang mempunyai banyak bidang sokongan.
Katanya subsektor tidak boleh tertumpu pada negara yang sama dan perlu diagihkan ke negara lain, begitu juga dalam soal kajian dan pembangunan.
“Asean perlu memainkan peranannya sebagai sebuah komuniti ekonomi untuk membawa pelaburan secara aktif ke rantau ini. Malaysia sendiri mungkin mampu menarik pelaburan, tetapi jika dilihat secara keseluruhan Asean, ia adalah perkara berbeza,” katanya.
Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Sosioekonomi Dewan Perniagaan China Malaysia (SERC) Lee Heng Guie juga percaya bahawa langkah kerajaan untuk mewujudkan suasana mesra perniagaan mampu memulihkan keyakinan pengguna dan pelabur.
“Bagaimana melakukannya? Kerajaan perlu memperbaiki kepimpinan dan komunikasinya secara positif. Mereka perlu berbicara tentang perancangan untuk memulihkan ekonomi dan mewujudkan suasana mesra perniagaan.
“Industri menunggu lebih banyak bantuan kerajaan dan mahu tahu hala tujunya.”
Lee berkata kebanyakan industri masih berdepan banyak cabaran pada ketika ini kerana permintaan pasaran masih belum pulih dan terjejas akibat rangkaian bekalan dunia selain kos operasi yang masih tinggi.
“Masih banyak cabaran dalam tempoh tiga hingga enam bulan yang perlu dihadapi oleh pembekal, pemborong dan pelanggan. Kadar keuntungan masih rendah dan aliran tunai masih menjadi faktor penting melepasi cabaran ini.”
Lee berkata walaupun situasi Covid-19 makin pulih, keyakinan pengguna masih rendah kerana jika ada rakyat yang enggan berbelanja, maka ekonomi negara tidak akan bergerak.
Oleh itu, matlamat pemulihan ekonomi jangka panjang harus menumpukan pada menstabilkan tahap pekerjaan agar dapat mempromosikan penggunaan domestik. Ini termasuk strategi untuk mewujudkan pekerjaan dan mengekalkan pendapatan.
“Jika semua orang merasa tidak yakin dengan jaminan pekerjaan mereka, mereka tidak akan berbelanja. Mereka akan bimbang kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji dan tidak akan sanggup berbelanja,” kata Lee.
Langkah proaktif lain perlu melibatkan kerjasama kerajaan dan majikan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan melatih pekerja tentang kemahiran baru atau relevan, kerana Covid-19 mengubah cara perniagaan dijalankan. – 26 Mei, 2020.