Iklan

Pakatan Pulau Pinang mahu 3 Adun belot kosongkan kerusi

Zaim Ibrahim4 years ago28th May 2020Berita
Whatsapp image 2020-05-28 at 14.01.35
Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam satu sidang media yang turut disertai timbalan pengerusi 1 PH Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dari PKR dan timbalan pengerusi 2, Roslan Ahmad dari Amanah. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) Pulau Pinang mahu tiga bekas wakil rakyatnya yang berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional untuk mengosongkan kerusi mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN), selaras dengan peruntukan perlembagaan negeri.

Tiga wakil rakyat bekas PH itu ialah dua Adun Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang), serta bekas Adun PKR, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya).

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, yang dipinda pada November 2012, memperuntukkan mana-mana wakil rakyat negeri yang bertukar parti atau berhenti menjadi ahli parti supaya mengosongkan kerusi.

“Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang mengatakan, mana-mana Adun yang berhenti menjadi ahli parti yang diwakilinya semasa pilihan raya atas apa jua alasan hendaklah mengosongkan kerusinya.

“Kerajaan negeri akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi Adun-Adun yang terlibat bagi pertimbangan Dewan Undangan Negeri pada sidang akan datang,” katanya dalam satu sidang media di George Town, hari ini.

Sidang media itu disertai timbalan pengerusi 1 PH Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dari PKR dan timbalan pengerusi 2, Roslan Ahmad dari Amanah.

Mereka turut mengumumkan dua Adun Bersatu berkenaan dilucutkan status sebagai ahli kerajaan PH, sementara Dr Afif digantung keahliannya. 

Chow menjelaskan selepas perubahan politik di peringkat persekutuan selepas Bersatu keluar dari PH, Bersatu di Pulau Pinang membuat keputusan kekal menyokong gabungan itu, sesuai dengan mandat rakyat dalam pilihan raya umum Mei 2018.

Bagaimanapun dua Adun Bersatu itu sekarang bukan lagi bersama PH sebagai kerajaan, walaupun mereka kekal bersama parti.

“Parti Bersatu mengambil keputusan untuk keluar daripada PH. Kerajaan negeri ini di bawah PH.

“Jadi jelas, Bersatu bukan lagi bersama PH,” tambahnya.

Khaliq Mehtab dan Zolkifli pada 23 Mei lalu menarik sokongan mereka kepada PH dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat pembangkang, susulan pertukaran kerajaan di Putrajaya setelah Bersatu di bawah presidennya Muhyiddin Yassin tidak lagi bersama gabungan itu.

Tindakan mereka bagaimanapun tidak menjejaskan keseimbangan kuasa di Pulau Pinang dengan PH masih menguasai 35 daripada 40 kerusi DUN.

Sebelum mengalihkan sokongannya, Khaliq Mehtab dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi di bawah kerajaan pusat, manakala Zolkifli dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Mara Corp Sdn Bhd, cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara). 

Dr Afif pula digantung daripada PKR pada awal Mei selepas melanggar disiplin parti kerana dianggap bersekongkol dengan komplot politik yang menjatuhkan kerajaan PH di persekutuan pada hujung Februari lalu.

Tiga kerusi DUN itu kini dijadikan “Adun angkat” yang diselia wakil rakyat Bersatu dan PKR.

Muhammad Bakhtiar, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau diberi tugas menjaga DUN Teluk Bahang; Adun Pinang Tunggal, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga timbalan ketua menteri 1 menyelia DUN Bertam, dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyelaraskan DUN Seberang Jaya.

Seksyen 14A undang-undang tubuh negeri Pulau Pinang dimasukkan pada hujung 2012 untuk mengelak wakil rakyat yang terpilih dalam pilihan raya daripada lompat parti.

Pindaan itu disokong oleh 27 daripada 31 Adun, dengan empat wakil rakyat Umno yang hadir tidak mengundi.

Ketua Menteri Pulau Pinang pada masa itu Lim Guan Eng dipetik berkata undang-undang itu perlu bagi menangani amalan lompat parti “yang tidak sihat dan tidak beretika”, serta mengkhianati mandat rakyat.

Beliau ketika itu memetik contoh pertukaran kerajaan di Sarawak pada 1996, Sabah (1994) dan Perak (2009) yang berlaku kerana wakil rakyat lompat parti.

Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan) dalam satu kes pada 1992 bagaimanapun memutuskan undang-undang sedemikian bercanggah dengan prinsip kebebasan berpersatuan yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. – 28 Mei, 2020.

Iklan
Iklan