Iklan

Mana datang angka 129, tanya Azmin

Zaim Ibrahim4 years ago28th May 2020Berita
Azmin zuraida story 030320 tmiseth 01
Pertukaran kerajaan bukan kehendak gabungan baharu itu tetapi berpunca akibat peletakan jawatan Dr Mahathir sendiri sebagai perdana menteri, kata Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.
Iklan

MOHAMED Azmin Ali tidak tahu asal-usul desas-desus kononnya ada 129 ahli Parlimen kini menyokong Dr Mahathir Mohamad, yang boleh menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional yang baru dibentuk pada Mac lalu.

Katanya, pertukaran kerajaan lebih dua bulan lalu bukan kehendak gabungan baharu itu tetapi berpunca akibat peletakan jawatan Dr Mahathir sendiri sebagai perdana menteri, pada masa itu.

“Saya tidak tahu daripada mana datang angka 129 itu.

“Saya kira titah Yang di Pertuan Agong dalam perasmian pembukaan Parlimen baru-baru ini jelas bahawa yang menyebabkan perubahan pentadbiran kerajaan adalah kerana perdana menteri ketika itu meletak jawatan,” katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah, petang ini.

Azmin diminta mengulas desas desus yang tersebar di media sosial sejak lewat malam tadi kononnya Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai sokongan 129 ahli Parlimen, yang membolehkan gabungan itu kembali semua sebagai kerajaan.

Sebuah media melaporkan desas-desus itu hanya perang psikologi yang dilancarkan oleh sebuah parti dalam PH.

Azmin berada di Kedah untuk lawatan sehari bertemu dengan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, yang baru mengambil alih teraju pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan pada 17 Mei lalu.

Menteri kanan ekonomi itu juga mengulangi pendirian pentadbiran Muhyiddin Yassin bahawa sekarang bukan masa untuk berpolitik, ketika rakyat dan negara berhadapan kemelut kesan penularan Covid-19.

“Sekarang masa kita tumpu kepada rakyat dalam negara dan negeri.

“Jangan heret masalah politik hingga rakyat jadi mangsa kerana ada individu yang gila kuasa mahu jadi perdana menteri,” katanya, tanpa menamakan individu yang beliau maksudkan itu.

Azmin juga meminta semua pihak berhenti daripada menyalahkan PN kerana jadi kerajaan sekarang.

“Jangan salahkan PN, apa yang berlaku ialah seorang perdana menteri (Dr Mahathir) letak jawatan.

“Takkan nak salahkan sesiapa… itu kehendaknya. Apabila berlaku kekosongan, (jawatan itu) perlu diisi,” tambahnya.

Beberapa media hari ini melaporkan sejak malam tadi ada khabar angin kononnya pemimpin PH mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan, Dr Mahathir hanya perlu tiga sokongan saja lagi, dan beliau dikatakan sudah mendapat sokongan daripada tiga ahli Parlimen, termasuk seorang menteri dan timbalan menteri.

“Wakil rakyat ini tidak berpuas hati kerana Perikatan Nasional kurang hala tuju politik dan tidak menegaskan kerajaan yang bersih,” kata sumber itu, seperti dipetik oleh Sin Chew Daily.

Seorang penulis blog politik, Shahbudin Husin juga mendakwa Dr Mahathir mempunyai ahli parlimen yang cukup menyokong beliau.

“Dari segi bilangan Ahli Parlimen atau nombor yang ada, berapa jumlahnya sama ada 113, 115, 120 atau 129 bukanlah perkara mustahak kerana yang penting ia lebih daripada jumlah minimum 112.

“Proses mengambil alih kerajaan ini dipercayai akan dilakukan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen pada Julai akan datang,” tulisnya.

PH membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018. Namun tidak sampai dua tahun jadi kerajaan, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu membawa partinya keluar dari gabungan itu pada 24 Februari lalu, sementara sekumpulan ahli Parlimen PKR yang menyokong Azmin juga keluar parti.

Pada masa sama, Dr Mahathir meletak jawatan perdana menteri, menyebabkan jemaah menteri terbubar ketika PH sendiri hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Muhyiddin kemudian membentuk gabungan baharu politik bersama Umno dan PAS, serta disokong oleh komponen Barisan Nasional serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac.

Menjelang pembukaan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan oleh Dr Mahathir untuk dibawa dalam mesyuarat Dewan Rakyat.

Parlimen yang bersidang pada 18 Mei bagaimanapun ditetapkan hanya untuk mendengar titah diraja.– 28 Mei, 2020.

Iklan
Iklan