Iklan

Jangan peralatkan Islam cetus konflik dengan bukan Muslim

Radzi Razak7 years ago28th Nov 2017Berita
Democratic transition conference tmikamal 05
Setiausaha Agung Nahdlatul Ulama Yahya Cholil Staquf berkata kemunculan kumpulan Islam garis keras sering menimbulkan suasana perseteruan antara umat Islam dan bukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 November, 2017.
Iklan

UMAT Islam perlu menunjukkan contoh yang baik dan meninggalkan sifat tidak bertolak ansur terutamanya kepada bukan Islam, kata seorang ulama Indonesia.

Mengambil contoh perkembangan di Malaysia dan Indonesia, Yahya Cholil Staquf berkata kemunculan kumpulan Islam garis keras yang sering menimbulkan suasana perseteruan antara umat Islam dan bukan Islam sudah sampai ke tahap membimbangkan.

Setiausaha Agung Nahdlatul Ulama itu, satu antara dua kumpulan umat Islam Sunni terbesar di Indonesia, bagaimanapun berkata hal itu bukan masalah rantau ini semata-mata tetapi satu masalah zaman yang memerlukan penyelesaian sejagat.

Tetapi katanya, jalan pertama menyelesaikan masalah itu ialah dengan mengaku bahawa ia masalah dalam wacana pemikiran Islam.

“Kita perlukan konsolidasi global untuk tangani masalah ini. Ini bukan masalah Malaysia dan Indonesia. Ini masalah peradaban kita, bagaimana Muslim inginkan Islam berfungsi di tengah peradaban hari ini.

“Jangan sampai Islam digunakan memicu konflik. Islam perlu difungsikan sebagai isu positif memberi sumbangan kepada kebaikan peradaban,” katanya ketika ditemui di luar Persidangan Antarabangsa Transisi Demokratik Dunia Islam kelima di Kuala Lumpur, hari ini.

Yahya sebelum itu menyampaikan ucaptama persidangan yang menghimpunkan ilmuwan Islam dari negara majoriti Muslim di Asia Barat, Timur dan Selatan bagi membincangkan masalah dalam demokrasi Islam di rantau berkenaan.

Yahya mengulas tunjuk perasaan jalanan besar-besaran di Jakarta setahun lalu yang didukung oleh Front Pembebasan Islam, ketika kemuncak kempen pemilihan gabenor ibu negara Indonesia itu, serta tindakan yang disokong PAS, pertubuhan Islam terbesar di Malaysia.

Katanya, dunia hari ini tidak mampu menghadapi satu lagi konflik agama kerana ia akan jadi permulaan kepada kehancuran peradaban manusia.

Beliau berkata sikap orang Islam di Malaysia dan Indonesia akan memberikan kesan kepada orang Islam lain di negara majoriti penduduknya bukan orang Islam apabila ada salah faham tentang Islam sehingga menimbulkan ketakutan terhadap agama itu sendiri.

“Ini lumrah,” katanya.

“Kita tak boleh lagi ada konflik agama. Tidak boleh dunia ada konflik agama, akan mengarah ke arah genosid (penghapusan etnik).

“Bukan bererti agama lain tidak ada masalah sama. Mungkin ada. Tapi dunia tidak lagi tahan dengan konflik agama.”

Yahya berkata keadaan “dunia tanpa sempadan” kini turut menyebabkan konflik agama bukan lagi ditangani antara kerajaan, sebaliknya melibatkan individu yang tidak bersalah, berbeza ketika zaman Turki Uthmaniah.

“Sekarang ramai Muslim dan bukan Muslim merupakan jiran tetangga,” katanya. – 28 November, 2017.

Iklan
Iklan