Alumni UiTM terima permohonan maaf Ku Nan
Iklan
PERSATUAN Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) hari ini menerima permohonan maaf Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berikutan kenyataan bahawa universiti itu merupakan tempat bagi mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran.
Menurut Presiden PAUiTM Zaini Hassan, selepas mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung Umno itu bagi mendengar penjelasan beliau, Zaini berkata, beliau bersetuju dengan Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, bahawa kenyataan beliau disalah erti.
“Kami amat besar hati kerana dapat berjumpa dengan Tengku Adnan yang sudi bertemu dengan kami dan kita tadi bercakap dari hati ke hati.
“Apa yang telah (berlaku), bagi saya, ini adalah satu spinning dan putar belit, out of context.
“Beliau bercakap dalam satu konteks yang begitu baik, begitu murni sebagai satu motivasi kepada para pelajar tersebut tapi telah diambil dalam konteks amat berbeza,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Ku Nan dalam sidang media selepas pertemuan itu turut memohon maaf atas kenyataan “slow learner” beliau terhadap pelajar UiTM.
Beliau mendakwa kenyataan beliau itu sengaja diputarbelitkan untuk mengambil kesempatan melaga-lagakan beliau dengan pihak UiTM.
Dua hari lalu, Ku Nan mengeluarkan kenyataan sebegitu ketika mengingatkan sumbangan Umno kepada pelajar, semasa berucap di majlis Anugerah Nadi Negara 2017.
Dalam video yang disiarkan oleh Malaysiakini itu, Ku Nan berkata: “Anda dapat masuk universiti, kalau ‘slow learner’ (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti.
“Ada kala kalau tak boleh masuk (universiti) di Malaysia, kita hantar ke luar negara. (Bila) balik, tunjuk pandai dan marah Umno,” katanya.
Hari ini The Malaysian Insight melaporkan bahawa PAUiTM termasuk menteri daripada Umno mengecam Ku Nan kerana menggelar universiti itu sebagai tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran.
Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani turut mempersoalkan apa definisi Tengku Adnan berkaitan “slow learner” itu.
Zaini dalam laman Facebooknya semalam menyenaraikan nama individu berpengaruh di Malaysia serta menteri yang merupakan alumni universiti itu sebagai membalas kenyataan Ku Nan itu. – 28 November, 2017.