Umno parti terbaik untuk semua bangsa, kata Ku Nan
Iklan
UMNO merupakan parti terbaik untuk semua bangsa dan tidak hanya berkecuali kepada kaum Melayu sahaja, kata Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor.
Ini kerana menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, parti terbesar kaum Melayu itu bertindak sebagai “payung” yang melindungi semua bangsa di negara ini.
“Kita parti yang terbaik. Bukan sahaja untuk kaum Melayu sahaja. Bahkan orang bukan Melayu juga pandang tinggi pada Umno.
“Umno adalah ‘payung’ kepada semua bangsa. Mereka yakin Umno akan beri perlindungan pada mereka,” kata Tengku Adnan dalam sidang media Perhimpunan Agung Umno ke-71 (PAU 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan itu turut mengakui bahawa ia merupakan perhimpunan Umno yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Tambah Ku Nan, perhimpunan kali ini bukan sahaja platform bagi ahli dan pemimpin Umno bagi bersiap-sedia dalam menghadapi PRU14, tetapi juga bagi menanam mentaliti boleh menang pada pilihan raya nanti.
“Mod perhimpunan ini untuk tanamkan “winning mentality” untuk semua yang hadir,” katanya.
PAU 2017 akan bermula pada 5 hingga 9 Disember depan. Dijangkakan seramai 5,739 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung itu kali ini. – 28 November, 2017.